fbpx
SAIFUDDIN menyampaikan ucapan pada Jelajah Aspirasi Bebas Dadah JABD di SMK Puteri Wangsa, Johor Bahru hari ini. Foto IHSAN MDN

Dadah ATS ancaman terbesar negara, kadar salah guna cecah 73.9 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Ancaman dadah sintetik khususnya stimulan jenis amfetamin (ATS) kini berada pada tahap membimbangkan apabila menjadi dadah paling dominan disalahgunakan di negara ini dengan kadar penggunaan mencecah 73.9 peratus.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi berkaitan perlu mempercepatkan proses menyenaraikan bahan kimia dan elemen racun baharu yang digunakan dalam penghasilan dadah sintetik di bawah Akta Racun 1952 bagi memastikan tindakan undang-undang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kewujudan pelbagai formulasi baharu dadah sintetik yang sentiasa berubah menjadi cabaran besar kepada pihak berkuasa kerana ada antaranya mengandungi bahan yang masih belum diwartakan sebagai racun atau bahan terlarang.

Menurut beliau, kelewatan menyenaraikan bahan kimia tersebut boleh menjejaskan siasatan polis dan proses pendakwaan terhadap sindiket serta individu terlibat.

“Cabaran buat polis adalah apabila terdapat elemen racun dalam dadah sintetik, tetapi bahan itu belum tersenarai dalam perundangan sedia ada. Keadaan ini boleh memberi kesan kepada siasatan dan tindakan penguatkuasaan.

“Sebab itu kita telah membincangkannya di peringkat Jemaah Menteri. Koordinasi antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia amat penting bagi memastikan bahan-bahan baharu ini dapat dikenal pasti dan diwartakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wangsa di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, golongan muda berusia antara 15 hingga 39 tahun merupakan kumpulan paling ramai terjebak dalam penyalahgunaan dadah sintetik, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan generasi negara.

Katanya, berdasarkan Laporan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan Terlarang di Malaysia 2025, seramai 191,832 individu direkodkan sebagai penagih dan penyalah guna dadah di seluruh negara.

“Antara negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi ialah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis,” katanya.

Di Johor pula, seramai 20,996 individu direkodkan terlibat dengan penyalahgunaan dadah, bersamaan kadar 499 penagih bagi setiap 100,000 penduduk.

Beliau berkata, peningkatan penggunaan ATS yang dihasilkan melalui campuran pelbagai bahan kimia sintetik memerlukan tindakan lebih agresif dan pantas daripada semua agensi penguat kuasa bagi mengekang penularannya sebelum menjadi ancaman yang lebih serius kepada keselamatan dan kesihatan awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN