fbpx
Gambar hiasan

Jangan gelap mata dengan wang i-Sinar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Sekitar minggu lalu, kecoh satu Malaysia tentang permohonan I-Sinar diluluskan.

Kawasan kejiranan penulis juga tidak ketinggalan berkongsi berita gembira apabila mereka akhirnya berpeluang mengeluarkan hasil titik peluh yang selama ini disimpan rapi oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebelum duit dikeluarkan, niat mereka untuk menyimpan wang tersebut tetapi selepas diluluskan, lain pula jadinya.

Salah seorang jiran penulis pada awalnya bercadang melaburkan wang tersebut ke dalam akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), namun niat itu bertukar sekelip mata selepas permohonan mengeluarkan wang tunai berjumlah RM10,000 diterima.

“Dapat duit i-Sinar nanti hendak beli televisyen dan katil baharu, lama sudah teringin nak rasa katil mahal,” ujar seorang jiran penulis.

Malah, ada juga teman sepejabat penulis yang meluahkan hasrat untuk menukar motosikal baharu dan duit i-Sinar tersebut boleh dijadikan wang pendahuluan.

Kesemua mereka boleh diibaratkan seperti gelap mata dengan wang tunai yang bakal diterima.

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir pemohon i-Sinar berhasrat ingin membayar hutang-hutang terdahulu dengan wang tersebut.

Sehingga penulis terfikir sama ada mereka tahu atau tidak perbezaan membeli barangan keperluan atau hanya sekadar meme­nuhi kehendak dan nafsu sendiri.

Sepatutnya duit tersebut di­labur atau disimpan untuk kegu­naan pada waktu kecemasan ditambah pula selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawakan Pergerakan (PKP) seluruh negara bermula semalam.

Memandangkan PKP sudah dilaksana, rakyat khususnya penerima skim i-Sinar seharus­nya berfikiran jauh memikirkan kea­daan ekonomi yang kurang stabil dan bukannya mengikut nafsu semata-mata.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Mohamad Fazli Sabri, menasihatkan agar pencarum yang mengeluarkan duit di bawah skim i-Sinar untuk menyemak semula aliran tunai diri dan keluarga.

“Buat analisis daripada segi pendapatan dan perbelanjaan kerana dapat membantu mereka untuk membuat pengubahsuaian ke atas corak pengurusan kewangan keluarga.

“Langkah asas yang boleh dilakukan ialah dengan menyediakan bajet dan perancangan kewangan supaya pencarum dapat ketahui terdapat perbelanjaan yang boleh ditangguh, dikurangkan atau tidak perlu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menerusi langkah tersebut, Fazli memberitahu penerima wang skim tersebut seharusnya menyenaraikan perbelanjaan mengikut keperluan harian.

“Sebagai panduan, wang yang diterima boleh diagihkan kepada tiga komponen utama iaitu perbelanjaan keperluan iaitu 60 peratus, perbelanjaan kehendak sebanyak 20 peratus dan bagi tujuan simpanan atau pelaburan sebanyak 20 peratus.

“Pastikan perbelanjaan mengikut keutamaan seperti apa yang telah disenaraikan. Utamakan keperluan berbanding kehendak,” ujarnya.

Fazli juga berpesan agar pencarum tidak menyalah guna wang itu untuk perbelanjaan yang tidak penting seperti membeli gajet atau pembelian online.

“Wang tersebut juga boleh disimpan untuk kegunaan kecemasan atau untuk pembayaran pinjaman.

“Selain itu, orang ramai juga perlu mengelak daripada terjebak dengan skim pelaburan cepat kaya atau apa sahaja pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa,” katanya lagi.-K! ONLINE

BERITA BERKAITAN