PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan dalam menangani kes buli di institusi pendidikan Mara, termasuk jika pelakunya melibatkan anak individu berpengaruh.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata drama Korea popular Teach You a Lesson yang mengangkat isu buli di sekolah mengingatkannya kepada satu kes buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Katanya, kes buli tersebut berlaku ketika beliau baru dilantik sebagai Pengerusi Mara kira-kira dua tahun lalu.
“Saya teringat satu kes buli di sebuah MRSM yang dikaitkan dengan anak seorang VIP yang punya pengaruh dalam politik.
“Pihak pengurusan MRSM semacam takut-takut nak ambil tindakan kerana ayahnya orang berpengaruh dan banyak menyumbang dalam Muafakat,” katanya.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata beliau mengambil pendirian tegas sebaik sahaja mengetahui perkara itu menerusi aduan ibu bapa di media sosial dengan mengarahkan tindakan diambil tanpa mengira latar belakang pelaku.
“Saya terus hubungi pengurusan Mara dan MRSM dan nyatakan pendirian tegas untuk ambil tindakan tanpa kompromi, ‘without fear or favour’ dalam isu buli. ‘You Touch You Go’,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa bapa kepada pelajar terbabit kemudian cuba membuat rayuan, namun permintaan tersebut tidak dilayan kerana pelajar berkenaan telah didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin maktab.
“Saya tidak layan bahkan saya beritahu pegawai tidak perlu aturkan sebarang pertemuan jika sudah didapati bersalah membuli.
“Malah saya tegaskan jika saya dapat tahu ada kes buli disorokkan atau dikompromikan atas apa juga sebab, pengetua maktab yang akan saya minta diambil tindakan termasuk ditukarkan,” katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut memuji pendekatan menempatkan bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa di MRSM yang menurutnya terbukti berkesan dalam mengurangkan kes disiplin dan buli.
Katanya, kajian empirikal yang dijalankan penyelidik bebas dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan penurunan ketara kes disiplin dan buli di beberapa MRSM yang sebelum ini mempunyai rekod masalah sedemikian.
“Disiplin pelajar ternyata lebih baik selain mengurangkan beban guru-guru yang sebelum ini menggalas tanggungjawab tambahan sebagai warden asrama,” katanya.
Sebelum ini pengguna media sosial berseloroh meminta Asyraf Wajdi menonton drama popular Teach You a Lesson yang memaparkan seorang bekas anggota komando, Na Hwa-jin mengetuai Biro Perlindungan Hak Pendidikan bagi menangani kes-kes disiplin dan buli di sekolah.
Rata-rata pengguna media sosial berpendapat drama tersebut dekat dengan pendekatan yang digunakan Pengerusi Mara dalam menempatkan bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa di MRSM.
“Patutlah ramai yang ‘tag’ saya minta tonton drama ni, rupanya ada kesamaan watak Na Hwa-jin dengan bekas tentera yang dilantik sebagai warden sepenuh masa di MRSM. Keduanya punya fungsi yang sama untuk menangani isu buli di sekolah.
“Pengajaran utama daripada drama ini jelas bahawa isu buli adalah isu yang amat serius.
“Ketegasan menangani isu ini penting agar tiada sebarang kecenderungan untuk menutup kes-kes buli kerana takut imej maktab terjejas ataupun tiada sebarang pilih kasih dalam menangani isu ini walaupun punya ‘cable’ atau anak orang berpengaruh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














