fbpx
CRAWLEY melakar kejutan apabila berjaya menundukkan Leeds yang dianggap sebagai pasukan pilihan pada saingan pusingan ketiga Piala FA kelmarin. – AFP

Leeds tanggung aib sangat besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CRAWLEY – Kejutan terbesar berlaku dalam saingan Piala FA selepas pasukan Liga Dua England, Crawley Town menewaskan Leeds United 3-0 untuk melangkah ke pusingan keempat.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Broadfield itu, Crawley menjaringkan tiga gol menerusi Nicholas Tsaroulla, Ashley Nadesan dan Jordan Tunnicliffe.

Pengurus Crawley, John Yems mengakui anak-anak buahnya beraksi dalam keadaan tanpa tekanan, sekali gus mampu mengejutkan wakil Liga Perdana Ing­geris (EPL) itu.

“Saya hanya minta pemain-pemain untuk nikmati perlawanan ini kerana mereka sudah bekerja keras. Mereka sudah tampilkan aksi terbaik dan jelas kami memiliki 11 pemain bintang pada perlawanan ini.

“Buat masa ini kami mahu raikan kemenangan ke atas Leeds. Selain itu, kami juga perlu perkemaskan lagi permainan sebagai persediaan untuk ke pusingan seterusnya,” kata Yems.

Sementara itu, pemain tengah Leeds, Ezgjan Alioski mengakui pengurus, Marcelo Bielsa sangat kecewa atas kekalahan itu walaupun akur mereka terpaksa melupakan saingan tersebut.

“Kami sangat kecewa kerana kami mahu terus berada dalam kejohanan ini. Pengurus sudah bercakap dengan kami dan beliau meluahkan kekecewaannya ekoran prestasi pasukan yang gagal mempamerkan aksi sebenar kami,” ujar Alioski. – AGENSI

POPULAR