fbpx
NURUL FARISHA berjaya keluar daripada belenggu kemurungan untuk tampil menjadi insan berbeza daripada sebelumnya.

Nurul Farisha bangkit selepas kemurungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang gadis bangkit semula menjalani hidupnya dengan le­bih ceria selepas keluar daripada kemurungan teruk.

Nurul Farisha Fazri, 21, pada asalnya merupakan seorang yang pemalu dan kurang keyakinan diri apabila bergaul dengan orang sekeliling.

Bagaimanapun, hidup gadis itu semakin rumit apabila dia mula mengalami kemurungan beberapa tahun lalu. Keadaan itu menyebabkan dia semakin menjauhkan diri daripada masyarakat dan mula hidup sendirian.

Akibatnya, persahabatan de­ngan beberapa rakan yang sudah terjalin musnah apabila berlaku pertengkaran. Keadaan itu juga menyebabkan berat badannya mulai susut.

Namun, pengalaman ketika kemurungan itu banyak mengajar Nurul Farisha untuk hidup lebih positif dan terbuka dengan pandangan orang lain.

Dia juga mula berjinak-jinak menceburi bidang peragaan sebagai model muslimah sambilan selain menjadi subjek solekan untuk jurumekap perkahwinan.

Ikuti temu bual Kosmo! Ahad bersama pelajar Diploma Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan ini.

Kosmo! Ahad : Apa yang menyebabkan Nurul Farisha mengalami kemurungan?
Nurul Farisha: Ia terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Kemurungan itu telah memakan diri saya sendiri.

Siapa yang mendorong Nurul keluar daripada kemuru­ngan?
Semua orang yang menya­yangi diri saya termasuk ayah, ibu tiri dan rakan-rakan.

Apa yang membantu anda untuk bangkit?
Memberanikan diri dengan mencuba perkara baharu seperti bidang peragaan.

NURUL FARISHA

Apakah impak bidang peragaan itu?
Saya sudah lama ingin me­lakukannya, namun tiada keberanian dan keyakinan. Melalui bidang ini, ia mencabar kemam­puan saya sendiri. Tanpa di­sedari, saya mampu mengalihkan perhatian sekali gus dapat keluar daripada kemurungan.

Bagaimana anda menceburi bidang peragaan?
Ia bermula apabila saya menjadi subjek untuk sebuah kelas solekan oleh seorang jurumekap terkenal di Machang.

Adakah bidang peragaan membantu anda sepenuhnya?
Ya. Keseronokan ketika menjayakan sesi penggambaran membuatkan saya lupa tentang perkara buruk yang pernah terjadi.

Apakah ada keinginan lain?
Saya ingin menjadi mo­del muslimah dan diberi peluang untuk tampil dalam media arus perdana sekali gus dapat memberi inspirasi kepada individu lain.

Selain peragaan, apa aktiviti lain yang anda lakukan?
Selain belajar, saya juga ejen perniagaan yang menjual produk penjagaan kulit dan biskut secara dalam talian.

Antara peragaan dan perniagaan, yang mana lebih utama?
Kedua-duanya saya minat, namun saya lebih berminat untuk mendalami bidang perniagaan.

Apa yang ingin Nurul Farisha kongsikan kepada pembaca?
Jalani hidup yang lebih ceria. Sentiasa beranggapan segala yang berlaku mampu memberi kesan positif kepada kita. Apabila sudah kemurungan, ia akan memakan diri sendiri.

BERITA BERKAITAN