fbpx

Kekurangan diri bukan alasan untuk mengalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LUKISAN yang dihasilkan Aliah mendapat tempahan daripada pelanggan.

WANITA berusia 33 tahun ini pernah dihantui memori pahit sewaktu zaman kanak-kanak dek kekurangan fizikalnya.

Sehingga ke satu tahap, dia enggan ke sekolah kerana terasa hati apabila diejek rakan sebaya.

Begitupun, Aliah Talib tidak membiarkan perkara itu menjadi titik noktah buat dirinya apabila berjaya bangkit menjadi seorang pelukis.

Bermula dengan menghasilkan lukisan di atas kertas bersaiz A4, siapa sangka anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini kini mampu mencanting batik.

Lebih membanggakan apabila anak bongsu daripada tujuh beradik ini mampu menyara hidupnya dan keluarga menerusi hasil jualan karya tersebut.

“Saya hanya bersekolah tadika sahaja kerana tidak tahan diejek oleh rakan.

“Begitupun bermula tujuh tahun, saya sudah mula menjinak-jinakkan diri dengan lukisan.
Tetapi pada waktu itu, lukisannya sekadar main-main sahaja.

“Keluarga menyedari minat saya dan ibu membelikan saya buku dan pensel warna,” katanya.

 

WANITA cekal ini enggan mengalah dengan kekurangan diri dan kini berjaya menjadi pelukis berjaya.

Bercerita lanjut, menurut wanita yang tiada kedua belah tangan sejak lahir ini, pada tahun 2004, dia menyertai Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan untuk mengasah bakat yang dimiliki selama empat tahun.

Sebaik tamat sesi latihan di pusat tersebut, Aliah berguru pula dengan pelukis terkenal, Raja Azhar di kediaman beliau yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu.

Bermula daripada melukis di kertas, Aliah yang menjadikan pelukis terkenal tanah air, Raja Azhar Idris dan Zanubah Hamzah sebagai sumber inspirasi kini mampu mencanting batik.

“Setakat ini, saya tidak mempunyai sebarang masalah biarpun lukisan dihasilkan menggunakan kaki.

“Kebiasaannya, saya akan melukis bermula malam sehingga awal pagi kerana pada waktu itu saya mendapat lebih banyak inspirasi,” katanya.

Kebiasaannya, lukisan yang dihasilkan bertemakan batik kontemporari, potret manusia atau pemandangan dan mata itu dijual pada harga antara RM100 hingga RM1,000 bergantung kepada saiz.

Kurang upaya bukanlah penghalang bagi wanita ini daripada meneruskan kehidupan seperti individu normal lain.

 

ALIAH kini lebih yakin untuk memandu kereta tanpa rasa takut.

 

Tidak mahu bergantung kepada sesiapa, Aliah mengambil keputusan untuk mengambil lesen memandu bagi membolehkan dia bergerak..

“Saya fikir masa depan. Adik-beradik tidak sentiasa ada dan mereka sudah pun berkeluarga.

“Ibu pernah berpesan, saya perlu berdikari. Kata-kata itu membuatkan saya berani mencabar diri mengambil lesen memandu,” katanya.

Berkongsi pengalaman memandu menggunakan kenderaan, ahli persatuan Mouth & Foot Painting Artist ini berkata, pada mulanya dia berasa takut untuk memegang stereng kenderaan.

Bagaimanapun selepas beberapa kali cuba memandu berdekatan taman perumahannya, Aliah mula yakin untuk bergerak di atas jalan raya.

“Yakinlah dengan kemampuan dan kebolehan. Jangan merendah diri.

“Kita perlu berusaha untuk terus berjaya dengan fikiran positif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI