MILAN – Presiden Inter Milan, Beppe Marotta menegaskan pasukannya tidak memerlukan revolusi besar-besaran selepas berjaya menamatkan musim ini dengan gelaran berganda selepas menjulang trofi Piala Itali, awal pagi semalam.
Pada aksi final itu, skuad Nerrazzuri berjaya menewaskan Lazio 2-0 hasil jaringan sendiri Adam Marusic dan Lautaro Martinez sekali gus menjulang trofi berprestij itu buat kali ke-10 dalam sejarah kelab.
Kejayaan itu turut menyaksikan skuad kendalian Cristian Chivu itu melengkapkan gelaran berganda buat kali pertama sejak era Jose Mourinho yang menghadiahkan trebel pada edisi 2010 termasuk menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL).
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada semua kerana ini adalah sukan berpasukan dan setiap orang memainkan peranan penting.
“Pada tahun lalu segalanya sukar apabila kita gagal meraih sebarang trofi selain kehilangan jurulatih, Simone Inzaghi. Namun, keputusan melantik Cristian Chivu nyata membuahkan hasil.
“Kami tidak melakukan revolusi sebaliknya hanya berevolusi untuk terus berkembang dan Chivu berjaya membawa kami kembali ke landasan sebenar musim ini kecuali dalam saingan UCL,” katanya.
Sementara itu, Chivu menegaskan kejayaan Inter mendominasi saingan di peringkat domestik tidak boleh dipandang remeh.
“Inter menang dua trofi musim ini dan kami memang layak mendapatkannya selepas mengharungi kempen yang konsisten,” katanya. – AGENSI














