fbpx

IPD Penampang lupus 60 senjata api tidak dituntut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Haris. (dua dari kanan) meninjau sebahagian senjata api limbahan yang bakal dilupuskan pihak IPD Penampang.

PENAMPANG – Sebanyak 60 senjata api limbahan tidak dituntut oleh pemilik berdaftar dilupuskan Bahagian Perlesenan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, pelupusan senjata api berkenaan membabitkan 54 ‘shotgun’, empat laras rifled, sepucuk senjata ‘spare gun’ dan sepucuk pistol jenis revolver.

Katanya, semua senjata limbahan terbabit adalah milik orang awam yang disimpan di dalam stor senjata IPD Penampang.

“Kita merekodkan keseluruhan sebanyak 91 senjata api yang disimpan di dalam stor IPD Penampang malahan ada antara senjata api ini tidak dituntut sejak tahun 2005.

“Pihak polis mempunyai hak untuk melupuskan senjata tumpangan yang tidak dituntut dalam tempoh enam bulan mengikut Seksyen 27(2) Akta Senjata 1950.

“Hari ini kita akan melupuskan 60 senjata api terlebih dahulu manakala selebihnya kita masih memberi ruang kepada pemilik untuk mengambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelupusan Senjata Api Limbahan di Garaj MPV, IPD Penampang hari ini.

Dalam sidang akhbar sama, Mohd. Haris menyatakan tindakan pelupusan itu dilakukan adalah langkah proaktif bahagian perlesenan dan logistik persenjataan IPD Penampang untuk memberi ruang kepada senjata milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam lain.

Mohd. Haris memaklumkan notis tuntutan awal sudah diserahkan menerusi program pertemuan dialog bersama pemilik senjata pada Mac lalu agar tindakan boleh diambil dalam tempoh tiga bulan.

Menurutnya, ia termasuklah membabitkan proses pindah milik bagi waris mengambil senjata api berkenaan namun malangnya tiada sebarang tindakan diambil daripada pemilik.

“Secara keseluruhan, ramai yang tidak menuntut senjata ini dipercayai disebabkan mereka sudah tidak berminat untuk memiliki senjata api itu.

“Kebanyakkan pemilik senjata api ini adalah dari syarikat keselamatan dan juga pemilik lesen individu atau persendirian yang sudah tidak berminat untuk menyimpan senjata ini lagi,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis berasingan, Mohd. Haris mengumumkan penerimaan satu pondok bit PDRM yang disediakan di Baverly Plaza sebagai salah satu fasiliti keselamatan di kawasan berkenaan dalam usaha membantu mengurangkan kemungkinan kejadian jenayah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI