fbpx

Misi pertahan raja pecut Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

SETIAP atlet olahraga terutama bagi acara riben biru 100 meter (m) pastinya mengimpikan gela­ran raja pecut dalam mana-mana kejohanan yang disertai.

Di pentas Asia Tenggara, temasya dwitahunan Sukan SEA adalah platform yang dianggap relevan bagi meraih gelaran tersebut berbanding pentas le­bih berprestij seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Berdasarkan rekod terdahulu, cuma ada dua atlet dalam sejarah Malaysia pernah meraih status raja pecut Asia iaitu Tan Sri Dr. M. Jegathesan sewaktu edisi Jakarta 1962 dan Bangkok 1966 serta Datuk Rabuan Pit di New Delhi, India pada 1982.

Justeru, memenangi gelaran raja pecut Asia Tenggara buat edisi ketiga berturut-turut akan membuktikan proses pembangunan sukan olahraga berada pada landasan tepat.

Ini bermakna, acara 100m pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dari 21 November hingga­ 2 Disember tahun depan amat penting buat skuad olahraga negara biarpun terpaksa berdepan pelbagai kesukaran disebabkan wabak pandemik Covid-19.

Bagi Jegathesan, 77, dia yakin Malaysia mampu sekali lagi mendominasi acara 100m lelaki di Hanoi tahun depan berdasarkan persaingan sengit dalam kala­ngan atlet negara.

“Kita mula menang dengan Khairul Hafiz (Jantan) di Sukan SEA Kuala Lumpur (2017) dan kemudian Haiqal (Hanafi) tahun lepas (Sukan SEA Manila 2019).

“Umur kebanyakan pelari-pelari negara terutama dua orang ini (Khairul dan Haiqal) masih muda dan mereka adalah atlet yang berbakat besar. Jadi ia bukan sesuatu yang mustahil untuk kita pertahan emas 100m.

“Cumanya, macam mana cara untuk kita persiapkan mereka supaya dapat bersedia sepenuhnya sebelum Sukan SEA 2021 bermula nanti,” katanya.

Selain Khairul, 22, dan Haiqal, 21, Malaysia turut memiliki ramai pelari pecut berpotensi seperti Jonathan Nyepa, 24, Muhammad Aqil Yasmin, 23, dan Muhammad Azeem Mohd. Fahmi, 16.

Pencabar yang perlu diberi perhatian serius ialah dua jaguh pecut Thailand, Ruttanapon Sowan, 26, dan Bandit Chuangchai, 27, yang masing-masing berjaya meraih pingat perak serta gangsa pada Sukan SEA Manila 2019.

Pengarah Teknikal ­Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller berkata, dia tidak gusar dengan potensi pelari-pelari lelaki, sebaliknya lebih bimbang terhadap peluang barisan pelari pecut wanita.

Ia ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dialami ratu pecut kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli yang memaksa­nya berehat panjang.

“Sekarang kita perlu keluar dan cari jalan untuk merekrut lebih ramai bakat di luar sana,” jelas Miller.

Apa yang lebih menyukarkan barisan kejurulatih KOM adalah situasi Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang terpaksa ditangguhkan sehingga 2022.

Jika Zaidatul Husniah gagal cergas sepenuhnya, Malaysia terpaksa bergantung kepada dua pelari senior, Siti Fatima Moha­mad dan S. Komalam Sally selain juara Sukma 2018, Azreen Nabila Alias untuk menyamai penca­paian Shanti pada tahun 1997.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI