NILAI – Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom kini berada pada landasan tepat untuk kembali ke tahap prestasi terbaik menjelang temasya Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, September ini.
Keyakinan itu disuarakan pelumba kelahiran Muar, Johor tersebut selepas berjaya mencatat masa bawah 10 saat (sub-10s) dalam acara pecut individu lelaki pada pusingan kelayakan Piala Dunia Trek UCI di Velodrom Nasional Malaysia, pagi tadi.
Pelumba berusia 31 tahun itu, mempamerkan kebangkitan bertenaga apabila merakamkan masa 9.895 saat (s) pada aksi kelayakan, sekali gus memenuhi sasaran peribadinya selepas hampir setahun bergelut dengan fasa pemulihan kecederaan lutut.
Meskipun terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada wakil Itali, Mattia Predomo, Shah Firdaus tetap melihat pencapaian tersebut sebagai petanda positif terhadap tahap kecergasan fizikalnya ketika ini.
Katanya, catatan masa yang direkodkan itu membuktikan dia kini semakin menghampiri rekod peribadi terbaiknya, 9.481s yang pernah dilakukan pada kejohanan di Konya, Turkiye, Mac tahun lalu.
“Seperti yang diharapkan, kali ini saya berjaya mencatatkan masa di bawah 10s. Ia adalah catatan peribadi terbaik saya musim ini selepas lima bulan menjalani pembedahan lutut,” katanya.
Mengulas lanjut, Shah Firdaus menyifatkan jurang antara catatan semasa dengan rekod terbaiknya tidak terlalu jauh dan percaya presasi itu mampu ditingkatkan sebelum tirai Sukan Asia dibuka pada 9 September hingga 4 Oktober.
Shah sebelum ini terpaksa melalui tempoh sukar selepas mengalami kecederaan lutut susulan kemalangan di Sukan Olimpik Paris 2024 yang memaksanya berlumba dalam kesakitan untuk satu tempoh panjang.
Keadaannya menjadi lebih serius apabila kecederaan tersebut disahkan melibatkan retakan halus pada lutut kanan sehingga memerlukan pembedahan pada penghujung September, sekali gus menjejaskan persiapan musimnya.
Menurutnya, keadaan lututnya kini berada pada tahap terbaik tanpa sebarang kesakitan, sekali gus memberi keyakinan tambahan untuk kembali bersaing di peringkat tertinggi.
“Setakat ini tidak ada (rasa sakit). Hari ini pun keputusan lebih daripada jangkaan sebab saya sasar untuk buat catatan masa terbaik saja.
“Cuma masa pusingan kedua, saya tunggu terlalu lama, jadi tak sempat nak potong di saat akhir. Badan saya belum bersedia sepenuhnya untuk melakukan pecutan maksimum,” katanya. -KOSMO! ONLINE














