PEREBUTAN dua slot wakil negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dalam acara beregu lelaki semakin sengit apabila sekurang-kurangnya empat pasangan kini berada dalam radar pemilihan.
Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Kebangsaan, Herry Iman Pierngadi, menegaskan hanya pasangan yang memperagakan aksi konsisten dan benar-benar bersedia akan dipilih bagi menggalas cabaran negara pada temasya empat tahun sekali itu.
Empat pasangan yang kini mencuri tumpuan ialah beregu ranking No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (No. 6), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (No. 9) serta pasangan muda Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King (No. 17 dunia).
Menurut Herry, beberapa kejohanan penting dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas ini, termasuk Kejohanan Dunia di India pada Ogos depan, akan menjadi medan penilaian terakhir sebelum keputusan dimuktamadkan.
“Sebelum Sukan Asia masih ada beberapa kejohanan lagi yang akan kami hadapi. Saya mahu buat penilaian dan lihat kekurangan apa yang perlu diperbaiki sebelum ke Jepun nanti.
“Sebelum itu juga ada Kejohanan Dunia dan bagi saya dua kejohanan itu sangat penting, jadi pemain perlu bekerja lebih keras lagi. Setiap negara cuma boleh hantar maksimum dua pasangan. Jadi kami akan pilih yang terbaik,” jelasnya.
Dalam masa sama, peluang tetap terbuka buat mana-mana pasangan termasuk gandingan muda untuk mencabar kedudukan dua terbaik negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Herry turut memberi perhatian khusus terhadap keadaan Man Wei Chong yang masih dibelenggu kecederaan lutut.
“Buat masa ini, kita belum 100 peratus pasti dengan keadaan Man (Wei Chong). Tetapi kami sudah susun dan pilih kejohanan mana yang sesuai untuk dia beraksi. Kita mahu pastikan dia berada dalam keadaan terbaik untuk Kejohanan Dunia dan juga Sukan Asia,” katanya.














