fbpx
Antara nelayan negara jiran yang diusir pulang.

181 bot nelayan Indonesia diusir dalam tempoh 5 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT – Kapal Maritim (KM) Malawali berjaya mengusir 181 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara dalam tempoh lima hari tugasan Op Benteng bermula 28 November lalu sehingga kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman, berkata kesemua bot tersebut dikesan menceroboh dan berada di persekitaran Pulau Jarak secara berkelompok dengan jumlah yang banyak pada sesuatu masa dan terdapat sekurang-kurangnya lima kru termasuk tekong di atas setiap bot.

“Pada 28 November, sebanyak 51 bot nelayan Indonesia dikesan di beberapa lokasi iaitu pada jarak 20.5 dan 26 batu nautika barat laut Pulau Jarak sekitar pukul 6.20 petang hingga 7.05 malam.

“KM Malawali seterusnya mengesan 87 bot nelayan Indonesia pada 29 November di kedudukan 30.4 batu nautika barat laut pulau sama lebih kurang pukul 12.30 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, baki 43 bot nelayan Indonesia dikesan oleh kapal sama di kedudukan 31.1 batu nautika barat laut pulau tersebut pada pukul 1.30 pagi hasil maklumat pengesanan dari pesawat udara maritim Bombardier CL 415 MP kelmarin.

Shahrizan berkata, kesemua bot tersebut diberi amaran menghentikan aktiviti menangkap ikan serta diarahkan keluar daripada perairan Malaysia dengan segera.

Menurut beliau, KM Malawali yang diketuai Pegawai Memerintah Leftenan Komander Maritim Fadzliana Mohd Fadzil seterusnya bertindak mengusir kesemua bot tersebut dengan cara membayangi sehingga keluar dari perbatasan perairan negara.

Beliau berkata, APMM Perak akan terus sentiasa memperkasakan OP Benteng dan komited dalam menjalankan tugas mengawal perairan negara dan mempertahankan kedaulatan negara dari dicerobohi pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk pencerobohan bot nelayan asing walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun.

“Aset-aset APMM akan terus meningkatkan rondaan dan pengawasan terutamanya di titik-titik panas berhampiran persempadanan maritim negara dengan negara jiran untuk menyekat PATI dan bot-bot nelayan asing daripada terus menceroboh dan memasuki negeri Perak,” katanya.

Komuniti maritim diminta untuk bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan nelayan-nelayan asing, PATI serta lain-lain kegiatan jenayah yang dikesan berlaku dalam perairan Perak kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau National Task Force di talian 011-6251 1123.

Komuniti maritim negeri Perak juga dinasihatkan agar memastikan bot sentiasa dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan sesuatu aktiviti di laut dan jika mengalami kecemasan segera hubungi MRSC Langkawi 04-9660537 atau MERS 999. – K! ONLINE