fbpx

Industri sawit jangka sumbang hasil cukai RM348 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Kerajaan dijangka mengutip hasil berjumlah RM348 juta menerusi cukai keuntungan luar biasa daripada industri kelapa sawit negara pada tahun 2020, berikutan peningkatan harga barangan komoditi itu bermula bulan Jun lalu.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, jumlah tersebut jauh berbeza berbanding RM258,000 yang dikutip menerusi cukai sama pada 2019.

Jelasnya, harga minyak sawit mentah (MSM) telah mencapai RM3,851 setan pada 19 November lalu, iaitu paras tertinggi sejak tahun 2012 berbanding hanya RM2,021.50 setan pada 12 Mei 2020.

“Pertumbuhan ini telah mendorong kenaikan harga buah tandan segar kepada RM760 setan berbanding RM408 setan pada Mei.

“Sekiranya harga MSM terus berlegar di atas paras RM3,000 setan untuk sepanjang tahun 2021, adalah tidak mustahil kerajaan mampu mengutip hasil cukai luar biasa berjumlah RM500 juta daripada industri sawit pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat MPOB di sini semalam.

Industri kelapa sawit di Semenanjung dikenakan cukai keuntungan luar biasa berjumlah tiga peratus sekiranya harga MSM melebihi paras RM2,500 setan.

Bagi pengusaha di Sabah dan Sarawak pula dikenakan cukai yang sama iaitu sebanyak 1.5 pe­ratus sekiranya harga MSM me­lebihi RM3,000 setan.

Sehingga Oktober, prestasi harga MSM tahun ini adalah RM2,583.50 setan, pertumbuhan 28.6 peratus berbanding RM2,008.50 setan untuk tempoh sama pada 2019.

Menurut Ahmad Jazlan, harga MSM akan terus disokong oleh permintaan yang semakin me­ningkat daripada negara pengimport.

Ini kerana pembukaan semula ekonomi selepas tempoh berkurung akibat pandemik, pengeluaran minyak sawit yang rendah dan peningkatan harga minyak pesaing.

Katanya, langkah pengura­ngan duti kastam ke atas MSM dari Malaysia oleh India daripada 37.5 peratus kepada 27.5 peratus pada 27 November lalu juga di­jangka akan menyaksikan eksport MSM ke negara berkenaan mencatat pertumbuhan sebanyak dua angka peratusan tahun hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI