PONTIAN – Berbekalkan disiplin tinggi, amalan pengurusan kebun yang sistematik dan kesungguhan menimba ilmu, seorang pekebun kecil kelapa sawit dari Benut berjaya menghasilkan lebih satu tan metrik buah sawit bagi setiap 0.4047 hektar tanah setahun.
Kejayaan itu membolehkan Rosli Abdul Rahman, 54, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pekebun Kecil Kelapa Sawit Terbaik 2025 oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Rosli berkata, dia mampu menghasilkan sebanyak 90 tan metrik buah tandan segar setahun dari kebun seluas 2.5 hektar di Kampung Tampok Laut, Benut, berbanding purata pengeluaran 72 tan metrik bagi keluasan sama.
Katanya, pencapaian tersebut diperoleh hasil bimbingan MPOB selain amalan pembajaan berkala yang dilakukan setiap dua bulan.
“Saya tidak mempunyai latar belakang khusus dalam bidang pertanian. Sebelum ini saya bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Amanah Saham Johor selama 12 tahun sebelum berhenti kerja pada 2006 untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap sektor pertanian.
“Minat dalam bidang pertanian bermula apabila saya kerap membantu keluarga menguruskan kebun sawit pada hujung minggu sebelum dijadikan karier sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Tampok Laut.
Lulusan Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia itu berkata, pembajaan secara konsisten membantu meningkatkan kesuburan pokok sehingga menghasilkan tandan buah yang lebih besar dan berkualiti.
“Dengan penjagaan baik, pokok menjadi lebih hijau dan sihat. Berat satu tandan kelapa sawit boleh mencecah 20 kilogram,” katanya.
Rosli turut mengamalkan kawalan rumpai secara minimum dengan kerja meracun dilakukan hanya dua kali setahun selaras dengan amalan pertanian lestari.
Bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, Rosli menyertai Program Duta Pekebun Kecil Sawit Lestari anjuran Procter & Gamble (P&G) di Jakarta, Indonesia yang memberi pendedahan mengenai amalan pertanian sawit mampan.














