fbpx

Ramai anak Orang Asli tiada gajet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suri rumah Orang Asli, Noriati Asod mengajar anaknya membaca di rumah mereka di Kampung Tendrik, Pos Bihai, Gua Musang.

GUA MUSANG – Kebanyakan anak Orang Asli di pos pedalaman daerah ini tidak mempunyai kemudahan gajet seperti telefon atau komputer untuk belajar dalam talian.

Penghulu Pos Bihai, Alang Segan berkata, kedudukan kampung Orang Asli yang terletak di kawasan luar bandar menyebabkan wujud masalah kepada pelajar apabila kurang mendapat capaian internet.

Katanya, masalah itu menyukarkan urusan pembelajaran dalam talian serta perhubungan komunikasi dengan dunia luar.

“Lebih malang lagi apabila kebanyakan ibu bapa Orang Asli tidak berkemampuan dalam menyediakan kemudahan gajet untuk anak mereka.

“Masyarakat Orang Asli lebih menumpukan keperluan membeli barangan makanan ketika menghadapi kesukaran berdepan ancaman pandemik Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Bagi mengantikan kaedah pembelajaran dalam talian ketika ini, terdapat segelintir ibu bapa yang mempunyai kemahiran menulis dan membaca menjadi guru interim kepada anak mereka.

Seorang suri rumah di Kampung Tendrik, Pos Bihai, Noriati Asod, 24, berkata, ketika penularan wabak Covid-19, keluarganya melakukan penjimatan dan memberi keutamaan kepada keperluan asas keluarga sahaja.

Katanya, dia bersyukur apabila mempunyai kemahiran membaca dan dapat mengajar anak serta anak saudaranya di rumah.

“Sejak kebelakangan ini saya lihat pendidikan anak-anak Orang Asli, khususnya di tempat saya memang tidak dapat perhatian daripada pelajar itu sendiri.

“Cuti panjang akibat Covid-19 menyebabkan mereka lebih suka bermain dan leka dengan aktiviti harian mereka,” katanya.

Tambah Noriati, masyarakat Orang Asli bernasib baik mempunyai tanaman sara hidup sendiri seperti ubi kayu dan sayur-sayuran kampung untuk menampung keperluan makanan harian keluarga mereka.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, kemudahan jalur lebar dan telefon di kawasan pedalaman masih di tahap lemah.

Katanya, tidak semua penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan mendapat kemudahan itu.

“Liputan internet dan talian yang baik di pedalaman harus menjadi keutamaan kerana ketika ini teknologi pembelajaran secara dalam talian adalah alat pendidikan utama sepanjang tempoh krisis wabak Covid-19 ini.

“Kita berharap kerajaan dapat memberi peruntukan secukupnya untuk kemudahan telekomunikasi di kawasan Orang Asli selepas Belanjawan 2021 diluluskan baru-baru ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI