fbpx

Kerajaan tidak berkompromi dengan jenayah penyeludupan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMZAH ZAINUDDIN

PUTRAJAYA – Kerajaan memandang serius kejadian tembakan antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kumpulan penyeludup yang berlaku di Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, Perlis pada pukul 3 pagi tadi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah yang melakukan serangan tersebut.

“Saya dimaklumkan bahawa satu kejadian berbalas tembakan antara anggota PGA dengan kumpulan penyeludup telah berlaku pada pukul 3 pagi tadi di TS9 Padang Besar.

“Siasatan awal mendapati kejadian ini bermula apabila dua anggota PGA yang sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian telah diserang oleh dua kumpulan disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hamzah berkata, salah seorang anggota PGA Orang Asli, Koperal Baharuddin Ramli telah terkorban dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup.

Menurutnya, rakan setugas mangsa, Koperal Norihan A/L Tari cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

“Saya dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian serangan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan mengesahkan kejadian tersebut.

Difahamkan, satu sidang akhbar akan dibuat polis Perlis berhubung kejadian itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI