JAKARTA – Rakaman objek menyerupai piring terbang yang terdampar di Madura tular di media sosial dan menimbulkan kekecohan dalam kalangan netizen, lapor portal berita detiknet.
Malah, penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) itu turut mencetuskan pelbagai spekulasi liar pengguna laman sosial.
Dalam video yang tersebar di platform TikTok, Instagram, hinggalah ke platform X, UFO berupa objek metalik berwarna putih itu kelihatan separuh tertanam di dalam tanah.
Suasana di lokasi kejadian riuh-rendah ekoran kehadiran orang ramai sambil merakam situasi menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Namun, selepas penemuan itu hangat diperkatakan, fakta sebenar di sebalik misteri UFO terdampar itu akhirnya dibongkar oleh netizen.
Salah seorang pengguna media sosial dengan nama akaun @BudhiSulistyo1 berkata, video tersebut sebenarnya sebahagian daripada promosi filem komedi arahan pengarah terkenal, Bayu Skak.
Filem itu membawakan jalan cerita unik mengenai sebuah UFO yang terpaksa mendarat cemas di Madura. – AGENSI














