TAPAH – Status pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak Sabtu minggu lalu masih tidak diketahui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah memasuki hari keenam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pasukan memasuki kawasan operasi hari ini menggunakan pesawat AW139 yang diturunkan di Bukit Berapit 2 telah sampai ke Kem Sukaneka.
“Ia melibatkan perjalanan berjalan kaki menyusuri permatang gunung selama lima jam.
“Pencarian difokuskan bermula simpang menuju Kem Sekali iaitu lokaasi antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu berdasarkan maklumat semasa dan garis masa perjalanan mangsa dan pasukan penyelamat sebelum ini,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi hari ini dihentikan pada pukul 6 petang tadi dan akan bersambung pada esok bermula pukul 8 pagi.
“Pasukan penyelamat bomba melibatkan anggota seramai 12 orang akan bermalam di lokasi pencarian di puncak gunung pada malam ini,” katanya.
Sebelum ini, operasi SAR melibatkan wanita yang merupakan penjawat swasta menunjukkan petanda positif dengan penemuan botol air, snek makanan dan kesan jejaknya.
Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki yang mengalami masalah pernafasan dan seorang malim gunung di Kem Batu Core.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – KOSMO! ONLINE














