PEKAN – Lima beradik menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka maut dalam kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Wira dan Honda City di Kilometer (KM) 76, Jalan Kuantan-Segamat, Paloh Hinai, di sini awal pagi tadi.
Lebih menyayat hati, nahas yang meragut nyawa Inspektor Syah Lokman Ludza Ramli, 50, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan isterinya, Nurulfiza Ardiana Amba, 46, itu berlaku pada pagi Hari Raya Aidiladha.
Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, pasangan tersebut bersama empat anak mereka berusia 10, 13, 15 dan 18 tahun dalam perjalanan pulang beraya ke Jempol, Negeri Sembilan. Empat anak pasangan itu cedera, manakala seorang lagi, Muhammad Afiq, 20, sudah berada di kampung menunggu kepulangan mereka.
Muhammad Afiq berkata, dia menerima berita mengenai nahas itu pada pukul 4 pagi selepas dikejutkan bapa saudaranya yang memaklumkan ibu dan bapanya meninggal dunia.
“Memang terkejut sebab saya tidak tahu papa balik kampung malam tadi (kelmarin). Saya ingat mereka bertolak awal pagi,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Ceritanya, sehari sebelum kejadian, ibunya memaklumkan akan pulang ke kampung malam kelmarin atau pagi semalam.
“Biasanya mama beritahu bila nak bertolak, tapi kali ini tiada. Saya dapat tahu mereka bertolak pukul 1.30 pagi selepas dimaklumkan bapa saudara,” kata pelajar Kolej Vokasional Pertanian Chenor itu.
Dua adiknya iaitu Muhammad Adib, 18, dan Muhammad Akif, 10, dirawat di Hospital Muadzam Shah, manakala Nur Arissa Safiya, 15, dan Muhammad Aqil, 13, cedera ringan.
Sementara itu, adik ipar arwah Syah Lokman, Mohd. Nur Faezin Syabidin, 45, berkata, mereka sekeluarga menunggu kepulangan arwah sebelum menerima berita nahas pada pukul 4 pagi.
Lebih menyedihkan, anak arwah sempat menghantar mesej kepada sepupunya memaklumkan dia terbabit kemalangan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku apabila Proton Wira dinaiki arwah dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Honda City. – KOSMO! ONLINE














