fbpx

Patuhi SOP di PPS ketika banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Azmi menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, Bagan Serai hari ini.

BAGAN SERAI – Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pengurusan banjir merangkumi sebelum, semasa dan selepas operasi ketika wabak Covid-19 melanda.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, setiap pusat pemindahan sementara (PPS) perlu dinyahkuman terlebih dahulu sebelum menerima kemasukan mangsa banjir di tempat itu.

“PPS juga perlu menyediakan peralatan secukupnya termasuk pelitup muka, penyukat suhu, cecair pembasmi kuman dan kelengkapan perlindungan diri (PPE).

“Proses pemindahan mangsa banjir ke PPS juga perlu mematuhi garis panduan pengurusan PPS dan mengikuti nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 60 keluarga mangsa banjir dari 11 kampung di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman di sini hari ini.

Tambah Noor Azmi, apa yang menjadi kegusaran KKM ketika ini ialah kealpaan dan kegagalan segelintir mangsa banjir yang gagal mematuhi SOP dan ia boleh menyebabkan wabak menular membabitkan petugas dan mangsa di PPS.

“Kerajaan amat berharap SOP yang telah ditetapkan dapat dipatuhi petugas dan mangsa banjir bagi mengelakkan wabak ini menular.

“Kita kena buat kawalan kendiri walau di mana kita berada,” katanya.

Sehingga 3 petang hari ini, sebanyak 251 mangsa banjir daripada 91 keluarga masih ditempatkan di empat PPS di Pasir Salak, Larut, Bukit Gantang dan Bagan Serai. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI