fbpx

13 penduduk Medan 88 yang pulang akan jalani ujian Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Zain (tengah) meninjau kawasan PKPD Medan 88 selepas sidang akhbar PKPD Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang, di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang menunggu arahan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mengarahkan 13 penduduk Medan 88 yang pulang untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Pengerusinya, Mohamad Zain A. Hamid berkata, kesemua mereka yang pulang akan menjalani saringan di kawasan premis berkenaan dalam jangka masa terdekat.

Katanya, pihaknya bersama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sedang bekerjasama dengan majikan di premis berkenaan bagi mendapatkan data dan jumlah pekerja yang bertugas di premis itu.

“Data dan jumlah pekerja ini penting supaya kita dapat mengarahkan mereka membuat ujian saringan di PKD berdekatan tempat tinggal mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bilik Gerakan Pengurusan Bencana Daerah Sepang di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, seramai sembilan warga asing dan empat warga tempatan yang juga penduduk Sabah pulang ke Medan 88 itu semalam.

Sementara itu, Mohamad Zain memaklumkan, warga asing itu terdiri dari lima lelaki warga Indonesia, satu lelaki warga Myanmar serta tiga warga Thailand terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan lebih ramai penduduk melarikan diri daripada menjalani ujian saringan akan kembali ke kediaman masing -masing hari ini.

Katanya, ia berdasarkan kepada laporan akhbar yang banyak membantu menyalurkan maklumat kepada orang ramai termasuk memberi kesedaran kepada penduduk yang melarikan diri untuk pulang secara sukarela bagi menjalani ujian saringan.

“Kami merayu kepada orang ramai termasuk rakan atau saudara-mara yang menumpangkan penduduk yang lari ini agar menasihatkan mereka pulang ke kediaman semula demi keselamatan diri dan orang ramai,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI