fbpx

Resepi kejayaan MPM dinobat PBT terbaik di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Papan tanda terbaru Stadium Majlis Perbandaran Manjung, antara kemudahan yang terdapat di daerah Manjung untuk kemudahan penduduk.

LUMUT – Membudayakan pelaksanaan kerja sistematik dan berkualiti, mempermudah kaedah penyampaian kepada pelanggan serta sentiasa mencari strategi memudahkan pelanggan antara resepi kejayaan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sehingga dinobat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbaik di negara ini.

Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, kejayaan itu tidak datang sekelip mata tetapi hasil kerja keras semua warga PBT itu dengan menjadikan tiga ‘resepi’ itu sebagai amalan.

Katanya, ia bermakna semua kakitangan MPM perlu memastikan semua aspek termasuk operasi, pentadbiran, pengurusan, hal melibatkan pengguna dan sebagainya, memenuhi syarat ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menurutnya, ia dilakukan bukan semata-mata untuk menyertai sesuatu pertandingan tetapi menjadikannya sebagai amalan kerja seharian.

“Hasilnya, sebagai contoh, kutipan hasil MPM mencapai tahap 90 peratus setiap tahun.

“Sehingga kini, hasil kutipan cukai kami tidak pernah berada di bawah 90 peratus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin mengumumkan MPM sebagai PBT terbaik di Malaysia bagi tahun 2019, mengatasi 152 PBT lain di seluruh negara.

Zuraida dilaporkan memuji kejayaan MPM memperolehi pemarkahan tertinggi itu memandangkan ia kurang dikenali dan baru 18 tahun dinaik taraf daripada majlis daerah kepada perbandaran.

Kejayaan itu membolehkan MPM mengatasi tujuh PBT lain yang bertaraf bandar raya yang menduduki tempat kedua sehingga kelapan manakala Majlis Perbandaran Ampang Jaya di tempat kesembilan dan Majlis Perbandaran Dungun di tangga ke-10.

Syamsul Hazeman berkata, sudah tentu pihaknya berbangga dan bersyukur berjaya mencapai kedudukan itu mengatasi PBT yang bertaraf bandar raya.

Beliau berkata, sebelum ini pencapaian terbaik MPM ialah menduduki tempat ketiga terbaik dengan tiga kali berada dalam senarai 10 PBT terbaik manakala Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah satu-satunya PBT dari Perak yang pernah dinobat PBT terbaik negara.

Menurutnya, kejayaan itu bagaimanapun menjadi satu cabaran kepada pihaknya untuk mengekalkan pencapaian itu.

Justeru, katanya, MPM akan terus melakukan yang terbaik seperti sentiasa mengubah kaedah penyampaian serta berusaha dan mencari strategi memudahkan dan memuaskan hati pelanggan iaitu penduduk di daerah Manjung. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI