fbpx

Arca kurus berharga RM375 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANDAR RAYA NEW YORK – Sebuah arca buatan artis Switzerland, Alberto Giacometti akan dilelong pada harga bermula AS$90 juta (RM375 juta) oleh firma lelongan Sotheby’s yang dilakukan secara tertutup.

Timbalan Pengerusi Bahagian Seni Halus Global Sotheby’s, Brooke Lampley berkata, arca yang diberi nama Grande femme I itu merupakan contoh terbaik kepada hasil kerja Giacometti.

“Arca ini adalah yang paling berharga dalam eksplorasi Giacometti terhadap patung wanita berdiri sepanjang hidupnya.

“Ia sangat menakjubkan. Ia meletakkan diri kita di dalam hasil seni itu. Bagaimana anda melihatnya dan bagaimana ia mempengaruhi perasaan anda merupakan sebahagian daripada kerja dan niat Giacometti,” ujarnya.

Arca berbentuk seorang wanita dan diperbuat daripada gangsa setinggi 2.68 meter itu ditempa pada tahun 1960 merupakan sebahagian daripada ukiran yang dikhaskan untuk Plaza Chase Manhattan di Bandar Raya New York, namun ia tidak pernah dipamerkan.

Acara lelongan yang dijalankan secara hibrid itu memerlukan pembida membuat hanya satu bidaan secara rahsia pada jumlah sekurang-kurangnya AS$90 juta (RM375 juta).

Tidak seperti lelongan biasa, Sotheby’s tidak akan mendedahkan nilai bidaan yang berjaya, namun pembida dibenarkan untuk mendedahkannya.

Sejak 2010, tiga arca Giacometti yang terkenal dengan ciri memanjang telah dibida pada harga melebihi AS$100 juta (RM416 juta) iaitu yang paling mahal setakat ini.

Arca bertajuk L’homme au doigt iaitu arca gangsa dibuat pada 1947 dibida dengan harga AS$141.3 juta (RM588.5 juta) pada tahun 2015 merupakan arca yang paling mahal pernah dibida dalam acara lelongan.

Sekiranya Grande femme I dibida melebihi AS$100 juta (RM416 juta), hasil seni Giacometti akan setanding karya Pablo Picasso yang nilai arcanya berada dalam lingkungan harga tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI