fbpx
Gambar hiasan

Dilema kaum wanita untuk kahwin lewat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Penulis hendak bertanya kepada golongan bujang, pernahkah anda dilemparkan ayat-ayat begini­ terutama daripada orang-orang tua dalam kalangan ahli keluarga?

“Kenapalah lambat sangat kahwin. Mesti cerewet nak pilih pasangan.”

“Tak takut ke nanti susah nak dapat anak? Maklumlah, lagi lambat kahwin, kesuburan pun ma­kin kurang.”

Itulah antara ayat dan soalan yang sering ditanya kepada individu yang masih belum mendirikan rumah tangga meskipun usia mereka sudah mencecah 30-an.

Bahkan, mereka juga sering dilabel dengan pelbagai gelaran yang boleh mengundang kepada kemurungan seperti bujang terlajak dan anak dara tua.

Hari ini, trend kahwin lewat semakin ketara selaras pemodenan dunia dan pembangunan negara berserta kemajuan yang dikecapi oleh masyarakat pada hari ini.

Jika dilihat dalam konteks Malaysia, terdapat perubahan dalam trend perkahwinan yang amat jelas dalam tempoh beberapa dekad ini.

Dalam satu kajian, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mengenal pasti tiga sebab utama seseorang melambatkan perkahwinan dan kekal hidup membujang sehingga hari tua.

Faktor yang telah dikenal pasti dalam kajian tersebut ialah kewangan yang kurang stabil, tiada calon yang sesuai dan kepentingan kerjaya.

Menurut Pensyarah Sosiologi, Profesor Dr. Fatimah Daud, wa­nita zaman sekarang mempu­nyai persepsi mereka sendiri iaitu terlalu selesa dengan kehidupan bujang sehingga merasakan tidak perlu mempunyai teman bergelar suami.

“Golongan ini bukannya tidak mahu kahwin, mereka ada niat menamatkan zaman bujang tetapi disebabkan jodoh lambat tiba atau tiada calon sesuai, mereka menganggap lebih baik bersen­diri sahaja.

“Kalau zaman dahulu, perkahwinan dibina atas faktor desakan dan pilihan keluarga. Berlainan pula dengan era moden sekarang, mereka mahu memilih sendiri pasangan mereka, jadi memang sukar untuk dapatkan individu yang memenuhi kriteria diingini,” tuturnya.

Tambah Fatimah, trauma de­ngan hubungan lampau dan lelaki­ yang terlalu memilih juga antara faktor menyumbang kepada berlakunya situasi tersebut.

“Lelaki pada hari ini menganggap wanita yang melebihi umur 30-an sebagai anak dara tua dan mereka lebih cenderung memilih calon isteri yang berusia 20-an. Itu juga masalah hari ini.

“Trauma dengan perhubungan lampau yang menyebabkan kekecewaan melampau atau pende­raan emosi juga punca terjadinya permasalahan ini,” tuturnya.

Katanya, persepsi terlalu selesa hidup bujang tidak akan memberi impak dalam tempoh terdekat tetapi kesepian itu akan dirasai ketika usia tua nanti.

“Akan tiba waktu mereka akan merasa sunyi dan jiwa sepi ekoran tiada anak dan suami di sisi terutama ketika sakit.

“Jika zaman dahulu, kahwin lambat dilihat sebagai masalah besar tetapi pada hari ini ­situa­si­ tersebut sudah menjadi satu kebiasaan dalam kalangan masyarakat di Malaysia,” katanya.

Walau apapun, berkahwin awal ataupun lambat, semuanya bergantung kepada pilihan hidup masing-masing.

Tidak perlu menuding jari pada mana-mana pihak sekira­nya situasi sebegini berlaku dalam kalangan ahli keluarga mahu­pun kenalan rapat.

BERITA BERKAITAN