fbpx
PARA pengunjung melakukan senamrobik yang diadakan pada sebelah pagi Karnival Amal Hari Penyayang di Taman Jubli Emas, Suka Menanti, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Karnival tiga dekad YSB platform tingkat ilmu usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERSEMPENA 30 tahun penubuhan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), sebuah program yang dikenali sebagai Karnival Amal Hari Penyayang telah diadakan di Taman Jubli Emas, Suka Menanti, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Menurut wakil penganjur, pelbagai acara menarik telah disusun atur selama tiga hari karnival itu berlangsung termasuk program pembangunan usahawan, sukaneka, penyerahan zakat dan banyak lagi meliputi segenap peringkat usia.

Jelasnya, program pembangunan usahawan itu diadakan khusus untuk mengiktiraf, memperkasakan dan meningkatkan kemahiran golongan wanita dalam bidang perniagaan. 

“Seramai 220 orang usahawan wanita berjaya menghadirkan diri seawal pukul 9 pagi untuk mengikuti acara demonstrasi masakan kek lapis Sarawak.

“Demonstrasi itu diketuai oleh Azlina Abdul Latif atau lebih dikenali sebagai Kak Eina Sayang yang juga merupakan pempengaruh, usahawan dan motivator terkenal,” katanya.

KAK EINA SAYANG (kanan) ketika menunjukkan demonstrasi menghasilkan kek lapis Sarawak kepada para usahawan dan pengunjung.

Selain demonstrasi, Kak Eina Sayang turut berkongsi sesi interaktif bersama para usahawan mengenai realiti dan pasang surut dunia perniagaan.

Tidak setakat itu, dia turut berkongsi ilmu mengenai strategi kebangkitan daripada kegagalan untuk membina daya tahan usahawan wanita.

Bagi sesi kedua pula, demonstrasi masakan diketuai syarikat Maker Receipe Sdn. Bhd. yang dikenali dengan jenama Cap O, sebuah syarikat bumiputera yang terkenal di negeri Jelapang Padi.

Taklimat dan demonstrasi masakan menggunakan pes masakan disampaikan oleh pengarah urusan syarikat itu, Aimi Syairah Md. Zain.

INTAN SAFINAZ berkenan bergambar dan menyantuni dua kanak-kanak yang merupakan sebahagian daripada pengunjung karnival selama tiga hari itu.

“Demonstrasi tersebut telah membuka peluang kepada usahawan dan peniaga kecil terutama yang mengusahakan kedai makan.

“Manfaat daripada demo menggunakan jenama yang dijamin halal itu akhirnya dapat digunakan oleh para usahawan dalam perusahaan mereka,” katanya.

Pada sebelah petang, turut diadakan pertandingan gubahan dan hiasan puding yang turut menjadi tarikan pengunjung terutamanya wanita.

Selain itu, penganjur turut menyediakan ruang jualan serta pameran buat usahawan lokal memasarkan produk mereka kepada lebih 50,000 pengunjung sepanjang program berlangsung.

Majlis perasmian karnival itu telah disempurnakan oleh Yang Maha Mulia Che Puan Besar Kedah, Haminah Hamidun.

Turut berangkat hadir pada acara perasmian itu ialah Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz diiringi ahli lembaga tertinggi YSB.

Pada majlis sama, YSB menerima dana wakalah zakat sebanyak RM600,000 daripada Tenaga Nasional Berhad bagi pembinaan enam buah Rumah Baiti Jannati di Lot Pembangunan Desa Sejahtera di Kampung Perik, Padang Terap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN