fbpx

10 ditahan berparti liar sambil berjudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA barang yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian yang dirampas dalam serbuan tersebut.

PETALING JAYA – Seramai 10 individu ditahan semasa mengadakan parti liar di sebuah rumah di Ara Damansara, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, dalam serbuan itu pihak polis berjaya menahan lima orang lelaki dan lima wanita termasuk tiga daripadanya warga asing.

“Serbuan dibuat pada pukul 9.50 malam dan semua yang ditahan berusia dalam lingkungan 27 hingga 45 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui satu karpet bertulisan ‘Texas Holdem’ yang tercatat angka 1 hingga 10 dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut menemui satu tiub penyedut minuman yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram dan sebuah beg berisi barang-barang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian.

“Kami turut menemui empat botol plastik mengandungi cecair disyaki jus berisi dadah seberat 1.5 liter yang disimpan di dalam almari rumah berkenaan.

“Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan mendapati semua suspek positif dadah jenis methaphetamin, amphetamin dan ketamin,” ujarnya.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati sebahagian daripada suspek berkenaan mengaku terbabit dengan penyalahgunaan dadah kira-kira setahun lalu.

Semua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa,” tegasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI