fbpx
Skuad Saidina Umar Zakat Selangor bersama beberapa pihak menemui lokasi dipercayai 'sarang' penagihan dadah di Kuala Langat.

Ingatkan asnaf, rupanya…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hasrat Skuad Saidina Umar Zakat Selangor untuk menyantuni asnaf di Kuala Langat berakhir dengan penemuan tidak disangka apabila rupa-rupanya pasukan berkenaan dipercayai ke ‘sarang’ penagihan dadah. 

Lembaga Zakat Selangor menerusi hantaran Facebook memaklumkan, pihak skuad tersebut menerima maklumat daripada Pusat Perlindungan Mualaf (Baitul Salam) Zakat Selangor mengenai seorang wanita saudara baharu tinggal bersama beberapa individu lain yang identitinya tidak diketahui dalam keadaan sangat daif.

Berdasarkan aduan bergambar yang diterima, Skuad Saidina Umar berjaya mengenal pasti lokasi di sebuah kebun sawit. 

“Maklumat awal menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan serta tinggal di dalam khemah tanpa bekalan air dan elektrik.

“Satu pasukan operasi digerakkan selepas solat Isyak dengan bantuan Operasi Agihan Daerah Kuala Langat, pihak masjid dan wakil kampung bagi menyantuni mereka serta mengenal pasti permasalahan sebenar.

“Namun, sebaik sahaja pasukan kami tiba di lokasi, kesemua mereka melarikan diri dan bersembunyi di sekitar kawasan gelap ladang kelapa sawit,” menurut hantaran berkenaan.

Dalam masa sama, usaha memujuk turut berlangsung lebih 30 minit agar kesemua mereka memberikan kerjasama. 

“Ketika pemeriksaan di kawasan khemah dijalankan, pasukan menemui beberapa barangan terlarang. Operasi kemudian ditamatkan kerana perkara tersebut berada di luar bidang kuasa kami sebagai agensi yang menawarkan bantuan kebajikan.

“Kami kemudian bergegas ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan dan menyerahkan kes kepada pihak berkuasa. Pasukan narkotik yang tiba di lokasi mengesahkan kesemua individu terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya. 

Sementara itu, pihak skuad turut memaklumkan kejadian berkenaan antara cabaran dihadapi mereka sebagai amil zakat dalam menyantuni mustahiq. 

“Bukan semua kes dapat diselesaikan dengan bantuan kewangan. Ada juga keadaan yang memerlukan tindakan pihak berkuasa demi memastikan jenayah tidak terus berleluasa, di samping memastikan bantuan zakat disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN