fbpx
Gambar hiasan.

KBS gariskan lima SOP dipatuhi pengusaha fasiliti sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh SUBKHI SUDARJI

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggariskan lima prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

KBS dalam kenyataan berkata, SOP itu antara lain menggariskan setiap pengusaha perlu menjadualkan pelaksanaan latihan sekiranya terdapat ramai peserta dengan mengehadkan jumlah tidak melebihi 10 orang pada satu- satu masa.

“Tiada sentuhan badan dengan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik manakala tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik.

“Aktiviti di dalam padang bola sepak dan gelanggang futsal hanya untuk tujuan latihan sahaja dan terhad kepada maksimum 10 orang peserta pada satu-satu masa,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial juga perlu memastikan pelaksanaan operasi di gimnasium dan dewan badminton mengikut SOP khususnya mengenai larangan perkongsian peralatan.

“Pengusaha juga perlu memastikan sentiasa melakukan sanitasi peralatan dan penjadualan slot untuk memastikan kawalan bilangan pengguna pada satu-satu masa.

“Tiada permainan dan kejohanan yang melibatkan sentuhan badan,” katanya yang memaklumkan bahawa garis panduan itu diguna pakai bagi Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sahaja berikutan pelaksanaan PKPB.

Bagi memastikan pematuhan terhadap SOP itu, tidak diambil mudah, KBS berkata, Jabatan Belia dan Sukan Negeri akan sentiasa melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa.

Katanya, aktiviti sukan dan rekreasi dalam tempat tertutup (indoor venue) yang lain akan terus diberi perhatian untuk dipertimbangkan selepas tempoh PKPB dengan melihat kepada situasi semasa.

“SOP yang telah diputuskan perlu dipatuhi sepenuhnya bagi membolehkan aktiviti ekonomi dapat terus berjalan dan mengurangkan kesan ekonomi akibat pelaksanaan PKPB,” katanya. -K! ONLINE