KUALA NERUS – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang berat masa depan landskap semasa bola sepak tempatan berikutan desas-desus kemungkinan beberapa kelab dilanda masalah sehingga mempertimbangkan untuk menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Muhammed Taufiq Johari berkata, isu tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menggugat kestabilan pembangunan bola sepak nasional.
“KBS bersedia mengambil pendekatan proaktif termasuk berbincang dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bagi mencari jalan penyelesaian.
“Selain itu, kita juga akan akan meneliti semua isu berbangkit (melibatkan pengurusan kelab terlibat) yang membawa kepada kemungkinan penarikan diri tersebut,” katanya selepas merasmikan program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda peringkat kebangsaan di Taman Laut Pulau Redang, di sini hari ini.
Muhammed Taufiq berkata, KBS bimbang sekiranya dibiarkan lebih banyak kelab akan membuat keputusan untuk menarik diri daripada Liga Super yang merupakan liga utama nasional.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KBS turut mengambil maklum reaksi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yangmembincangkan masa depan pasukan kegemaran mereka di media sosial.
Kosmo! hari ini melaporkan pengurusan Terengganu FC tidak menolak kemungkinan terpaksa menarik diri daripada Liga Super dan turun pangkat menyertai Liga A1 Semi Pro pada musim depan ekoran kekangan kewangan. – KOSMO! ONLINE














