fbpx

Perkenal dasar baharu basmi kemiskinan dalam RMK-12

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustapa (kanan) beramah mesra dengan peserta di Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan di Kuala Woh di Tapah di sini hari ini.

Oleh ASLIZA MUSA

TAPAH – Kerajaan akan memperkenalkan dasar baharu bagi membasmi kemiskinan rakyat termasuk golongan Orang Asli dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kadar kemiskinan di seluruh negara berdasarkan tarif baharu adalah pada kadar 5.6 peratus dan 40 peratus daripadanya dalam kalangan Orang Asli.

Katanya, kerajaan amat komited dalam menangani sebarang isu kemiskinan membabitkan rakyat kerana telah lama berjuang bagi mengatasi masalah tersebut.

“Sejak tahun 1971 yang mana secara khususnya 50 tahun kita berperang dengan kemiskinan sama ada di bandar mahupun luar bandar.

“Sesi libat urus oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) telah dilaksanakan bagi memperkenalkan dasar-dasar baharu ini dan untuk memastikan kemiskinan di negara ini dapat dikurangkan, harus ada keberanian dalam memperkenalkan dasar tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan di Pusat Rekreasi Kuala Woh di sini hari ini.

Menurut beliau, tumpuan khusus juga akan diberikan kepada golongan Orang Asli dalam RMK-12 ekoran kadar kemiskinan yang tinggi dalam kalangan mereka.

Katanya, pendekatan daripada aspek pendidikan akan diberi keutamaan untuk golongan tersebut.

“Untuk RMK-12 ini, kita melihat kadar kemiskinan yang tinggi dalam kalangan Orang Asli. Oleh itu, kita harus ada pendekatan lebih berkesan untuk memperkasakan golongan itu di mana salah satunya adalah melalui pendidikan.

“Perlu ada usaha yang betul dan khusus serta jihad untuk mengangkat taraf pendidikan Orang Asli. Jika kita dapat perbaiki lagi prestasi pendidikan, maka ini merupakan cara terbaik untuk memajukan sosial dan ekonomi mereka,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI