fbpx

Ketua Menteri, pemimpin jalani ujian calitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD

MELAKA – Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan barisan kepimpinan kerajaan negeri menjalani ujian calitan susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman berkata, Ketua Menteri melakukan ujian tersebut sebagai langkah berjaga-jaga kerana dikhuatiri mempunyai kontak sosial dengan Amiruddin.

Menurutnya, turut melakukan ujian berkenaan pada hari ini adalah para pegawai, kakitangan sokongan termasuk pemandu-pemandu kepada Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Malah, empat kontak rapat kepada kes semalam (Amiruddin) juga sudah disaring di Klinik Kesihatan Masjid Tanah dan diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah.

“Selain itu, kakitangan di Kompleks Seri Negeri yang berisiko juga telah menjalani ujian calitan pada hari ini sementara operasi di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu juga berjalan seperti biasa,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Amiruddin yang baharu pulang daripada membantu kempen PRN di Sabah mengesahkan beliau dijangkiti Covid-19 selepas proses menanggalkan gelang merah jambu dilakukan pada Selasa.

Amiruddin mendakwa, kejadian itu dipercayai berlaku ekoran kesilapan teknikal di pihak Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah.

Mengulas lanjut perkara itu, Rahmad yang juga ADUN Ayer Molek berkata, siasatan lanjut berkenaan hal itu sedang dilakukan bagi mengetahui punca sebenar.

“Setelah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri, semalam saya minta dibuat penambahbaikan dan siasatan kepada hal ini. Jika disebabkan faktor (kecuaian) petugas, tindakan akan dikenakan kepada mereka terlibat,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Rahmad merayu pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mempertimbang untuk mengadakan perlawanan Liga Super antara Melaka United dan Kedah di gelanggang berkecuali.

Ujarnya, ia berikutan pertemuan di Stadium Darul Aman tidak sesuai diadakan memandangkan Kedah antara negeri yang tertinggi mencatat jumlah kes positif Covid-19 ketika ini.

“Saya difahamkan pasukan Melaka United akan bertolak ke Alor Setar hari ini selepas MFL memutuskan perlawanan diteruskan seperti biasa, namun kita khuatir dengan perkembangan terkini Covid-19,” katanya.

Justeru itu, beliau mencadangkan agar Stadium Perak dapat digunakan sebagai gelanggang berkecuali bagi perlawanan pada Ahad ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI