MELAKA – Seorang wanita berstatus ibu tunggal didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan pakej perkhidmatan seks dengan bayaran RM400 di sebuah hotel minggu lalu.
Majistret, Uthman Abd Ghani, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nasharimah Nanyan, 40, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menawarkan perkhidmatan seks bagi maksud persundalan. Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah bilik di Kota Syahbandar, Klebang dalam daerah Melaka Tengah di sini, pukul 8.15 malam, 14 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam Ops Noda selepas sepasukan polis menjalankan risikan berhubung kegiatan menawarkan aktiviti persundalan menerusi aplikasi WeChat di hotel berkenaan.
Hasil soal siasat mendapati tertuduh mengaku bekerja sebagai pelacur dan menawarkan pakej seks dengan bayaran RM400 bagi satu sesi selama sejam.
Tertuduh, yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal dan perlu menyara anak selain hanya bekerja sebagai pekerja hotel dengan pendapatan RM1,700 sebulan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda dan tertuduh membayar jumlah berkenaan. – KOSMO! ONLINE














