fbpx
Sazalee (tiga kiri) menunjukkan motosikal scrambler elektrik yang dirampas oleh pihaknya susulan aksi konvoi liar dan pembakaran suar di tengah Jalan Sultan Ismail berhampiran Bukit Bintang.

Konvoi bakar suar: 15 suspek dicekup dalam tempoh 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Cubaan mempromosikan jualan pakaian menerusi aksi konvoi liar dan pembakaran suar di tengah Jalan Sultan Ismail berhampiran Bukit Bintang membawa padah apabila seramai 15 individu ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua suspek terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun.

Menurut beliau, tangkapan dilakukan susulan video tular yang memaparkan sekumpulan individu menaiki kenderaan pacuan empat roda serta motosikal scrambler elektrik sambil melakukan aksi yang mengganggu ketenteraman awam di kawasan tumpuan pelancong itu.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 2 pagi pada semalam sebelum video tersebut tular di aplikasi Threads.

“Hasil siasatan mendapati aksi berkenaan dilakukan bagi tujuan mempromosikan jualan pakaian milik salah seorang suspek yang ditahan berusia 24 tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan dan Kakisan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, polis turut merampas sebuah pacuan empat roda jenis Ford Raptor dan dua motosikal scrambler elektrik yang digunakan dalam aksi tersebut.

“Siasatan mendapati motosikal scrambler itu merupakan buatan luar negara dan hanya dibenarkan digunakan untuk aktiviti off-road serta tidak boleh didaftarkan untuk kegunaan jalan raya.

“Kita akan mengambil tindakan saman dan sitaan terhadap motosikal terbabit,” ujarnya.

Tambah beliau, daripada 15 suspek yang ditahan, lapan individu dipercayai dibayar antara RM50 hingga RM700 bagi melakonkan aksi tersebut.

“Suspek wanita berusia 24 tahun yang ditahan pula dipercayai bertindak sebagai penyelaras atau koordinator semasa penggambaran dilakukan,” katanya.

Jelas beliau, tangkapan dilakukan di sekitar Batu Caves, Shah Alam, Kajang dan Dengkil bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam semalam hasil maklumat orang awam.

“Semua suspek telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah,” katanya.

Tegas Sazalee, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan aktiviti sehingga mengganggu keselamatan awam serta mencemarkan imej negara khususnya di kawasan pelancongan utama ibu negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN