KUALA KANGSAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita alat tulis marker tiruan bernilai RM183,990 dalam dua serbuan berasingan di Ipoh dan Kuala Kangsar semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil aduan dan maklumat oleh wakil pemilik cap dagang yang mengadu terdapatnya penjualan secara dalam talian berjenama mereka disyaki tiruan beroperasi di premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 72,616 unit alat tulis pen marker pelbagai jenis dan warna yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.
“Wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan divbawah Akta Cap Dagangan 2019,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kesalahan yang disyaki telah dilakukan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 dan kesemua barangan serta dokumen telah disita untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














