fbpx

Cuepacs pertikai Kementerian Kesihatan tidak serap kakitangan kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terkejut seramai 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi berstatus kontrak tidak diserap ke jawatan tetap oleh Kementerian Kesihatan.

Presidennnya, Adnan Mat berkata, Cuepacs terkilan dengan perkara itu memandangkan kementerian telah pun menerima kelulusan 10,675 perjawatan baharu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ini.

“Kementerian sebaliknya cuma memaklumkan kontrak kerja petugas kesihatan terbabit akan disambung secara ‘one-off’ untuk tempoh enam bulan lagi.

“Sewajarnya keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan berstatus kontrak untuk mengisi kekosongan perjawatan memandangkan pengalaman mereka yang sudah bertugas di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, daripada 10,675 perjawatan baharu tersebut, kerajaan telah menyerahkan sebanyak 385 waran perjawatan bagi pengoperasian Hospital Rembau, Negeri Sembilan pada 2 Disember 2019 (Fasa Pertama).

Menurut beliau, pada 10 September 2020 (fasa kedua) kerajaan menyerahkan 5,203 perjawatan baharu bagi digunakan untuk fasiliti kesihatan yang telah siap sehingga Jun 2020 melibatkan 54 buah fasiliti kesihatan sedia ada dan baharu di seluruh negara.

Kata beliau, baki sebanyak 5,087 jawatan pula akan diserahkan kepada pihak kementerian pada fasa seterusnya apabila fasiliti kesihatan siap dan bersedia beroperasi sepenuhnya.

Justeru, katanya, Cuepacs menggesa Kementerian Kesihatan melantik semua petugas kesihatan berstatus kontrak terutama yang bertugas di barisan hadapan ke jawatan tetap terbabit.

“Ini adalah amat tidak adil kepada mereka kerana jawatan-jawatan telah diwujudkan dan sememangnya mempunyai keperluan mendesak untuk diisi,” katanya.

Tambah beliau, pemberian lantikan tetap dapat memberi motivasi kepada perkhidmatan cemerlang mereka dalam usaha membanteras penularan wabak Covid-19 sebelum ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI