fbpx

Usah lupa janji, kelak merana diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
AZIMI MUSTAPHA, PENGARANG BERITA KOSMO.

USAH mengambil mudah soal janji. Itu yang pernah disampaikan oleh seorang guru ketika penulis di bangku sekolah satu ketika dahulu.

Kata-kata itu yang menjadi pegangan hingga kini dan berhati-hati ketika hendak membuat janji dengan seseorang, ditakuti tidak dapat ditunaikan dan mengundang kemarahan orang.

Kebanyakan daripada kita mungkin pernah mengalami orang yang berjanji macam-macam, tetapi bila tiba masanya dia mula membuat helah dan pelbagai alasan untuk tidak menunaikannya.

Paling menyedihkan adalah orang yang berjanji untuk membayar hutang, tetapi gagal atau enggan menjelaskan biarpun tempoh untuk berbuat demikian telah melepasi beberapa tahun daripada tarikh sepatutnya.

Dalam hal ini, Islam amat menitikberatkan soal menunaikan janji yang dilafazkan hingga melabelkan mereka yang gagal berbuat demikian sebagai mempunyai salah satu sifat terkeji iaitu munafik.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila ia berbicara ia dusta, apabila ia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” -Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Hadis ini memberi gambaran jelas bahawa sifat munafik adalah salah satu sifat yang dibenci Allah. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhi sifat tersebut kerana ia bukan sahaja tercela, namun boleh mengundang kebencian dan permusuhan sesama manusia.

Selain itu, ia juga akan merenggangkan hubungan persaudaraan dan persahabatan yang dibina sekian lama.

Banyak daripada kita yang begitu cepat dan senang melafazkan janji bagi mendapat dan memuaskan hati seseorang, sedangkan dalam hati sekadar untuk memuaskan hati pihak lain dan tidak pernah berniat pun untuk menunaikannya.

Sebagai contoh, ramai ibu bapa yang berjanji dengan anak-anak untuk memberi hadiah atau belanja makan di restoran tertentu jika lulus peperiksaan dengan cemerlang dan sebagainya.

Apabila anak-anak lulus dengan cemerlang, kita ada pelbagai helah dan alasan untuk tidak memberikan seperti yang dijanjikan.

Mungkin kita akan berkata, tidak mengapa untuk tidak menunaikannya sebab orang kita berjanji itu adalah anak sendiri dan tidak perlu membesarkan isu berkenaan.

Dalam hal ini, anak-anak yang menjadi ‘mangsa’ janji tidak dikota itu akan mempunyai satu persepsi iaitu tidak akan mempercayai kita lagi, selain hilang rasa hormat kepada ibu bapa sendiri.

Jika anak sendiri pun tidak percaya dan hormatkan kita lagi, apatah lagi orang luar termasuk kawan-kawan di luar sana apabila kita mungkir janji dengan mereka.

Sekiranya ini berlaku, sudah pasti yang rugi adalah diri kita sendiri kerana pada masa depan, agak sukar untuk meminta pertolongan daripada mereka sekiranya berada dalam kesempitan.

Pada masa itu, sesal sudah tidak berguna lagi kerana kita sendiri yang mencipta ‘kemusnahan’ bagi diri sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI