fbpx
SYIFA MELVIN

Syifa nafi kaki kikis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka, pada usianya yang baru mencecah 26 tahun, Syifa Melvin sudah boleh berbangga dengan pencapaian bergelar jutawan muda.

Tidak pernah terlintas untuk memegang status tersebut dalam jangka masa yang singkat, pelakon dan pengacara itu hanya mampu meluahkan perasaan bersyukur dengan rezeki yang diterima.

Kata pemilik nama penuh Nur Syifa Athirah Amirol Melvin itu, peluang yang tiba menerusi perniagaan Kekasih By The Melvins bersama tiga orang kakaknya dianggap satu lubuk rezeki buat dirinya.

KEJAYAAN Syifa dalam membangunkan Kekasih menjadi bukti kepada peminat bahawa dia bekerja keras mencari rezeki dan tidak perlu mengharapkan sesiapa.

“Sejujurnya, Kekasih By The Melvins (Kekasih) bermula dengan niat kami bertiga mahu menceriakan hati kakak sulung, Syafiqa Melvin yang baru kehilangan suami hampir dua tahun lalu.

“Apabila kami bermula pada awal 2019, perniagaan ini tidak diambil serius sehinggalah sambutan yang diterima pada produk Kekasih di luar jangkaan,” Syifa membuka cerita usai pelancaran produk terbaharu Kekasih iaitu Hijab Mata.

DARI kiri. Syida, Syifa, Syafiqa dan Syatilla Melvin bergambar bersama produk kosmetik terbaharu Hijab Mata Kekasih dari Kekasih by The Melvins pada majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Shah Alam. – FARIZ RUSADIO

Terbalas

Ternyata kerja keras, onak duri dan dugaan yang diterima sepanjang mengusahakan Kekasih menerima balasan setimpal apabila setakat hari ini, mereka mampu memiliki hampir lima ribu stokis di seluruh negara.

Melihat pada kejayaan Syifa sekarang, secara tidak langsung menutup semua spekulasi dan khabar angin yang mengatakan wanita itu menggunakan kejelitaan wajahnya sebagai senjata bagi mengikis duit lelaki-lelaki kaya.

“Orang tidak tahu susah senang saya sebelum berada pada tahap sekarang. Saya mula bekerja sejak belajar di kolej dan selesa mencari duit sendiri tanpa mengharapkan sesiapa.

“Saya pernah jadi model sambilan dan menjalankan khidmat mekap pengantin. Pernah rasa susah apabila ada RM20 sahaja dalam poket untuk isi minyak dan makan,” katanya dengan suara sedikit bergetar.

Tambahnya lagi, apabila timbul dakwaan kononnya dia hidup mewah hasil mengikis duit lelaki, hal itu sedikit sebanyak menggores hati dan menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita.

Namun dia bersyukur kerana sepanjang berdepan fitnah dan dilemparkan pelbagai tuduhan, keluarga menjadi tonggak semangat untuk bangkit membuktikan dia mampu berjaya atas kaki sendiri.

“Saya malas hendak bersedih lama-lama kerana itu akan membuatkan orang lagi suka untuk terus menghentam.

“Komen-komen pun saya biarkan sahaja di laman sosial kerana saya mahu benda itu menjadi pembakar semangat untuk membuktikan apa yang mereka katakan itu salah,” tuturnya lagi.
Kejayaan Kekasih juga membuka perspektif baharu dalam hidup adik kepada Syatilla Melvin itu apabila sudah semakin serius untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan.

SYIFA tidak menafikan dirinya sudah bersedia bergelar isteri, namun bukan dalam masa terdekat. Tidak meletakkan sebarang sasaran untuk berkahwin.

Selektif

Mengakui mahu memberi fokus penuh kepada Kekasih, Syifa hanya akan menimbangkan tawaran seni jika ada yang benar-benar menarik perhatiannya.

Dalam masa sama, Syifa sempat dicuit soal cinta bersama salah seorang pemain bola sepak tanah air yang sudah berlanjutan hampir setahun.

Masih berpegang teguh pada jawapan teman tetapi mesra, anak ketiga daripada lima beradik itu memohon agar persoalan tentang cinta tidak terlalu dibangkitkan.

“Kami rapat. Buat masa sekarang, itu sahaja yang boleh saya ulas tentang hubungan kami.

“Doakan yang baik-baik semoga ada jodoh antara saya dan dia.

“Lagipun sekarang kami masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri.

“Meskipun ini adalah hubungan jarak jauh, dia tidak lupa memberikan sokongan dan selalu memberitahu dia bangga dengan apa yang saya capai sekarang,” ujar Syifa menyusun kata-kata dengan penuh teliti sebelum mengakhiri perbualan.

BARU setahun menceburkan diri dalam dunia perniagaan, Syifa mengakui mulai selesa dan seronok bergelar usahawan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN