fbpx
KDN menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang perakuan kepada mana-mana syarikat bagi menguruskan pekerja asing.

KDN nafi lantik syarikat pengurusan pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan tidak pernah mengeluarkan sebarang perakuan kepada mana-mana syarikat bagi menguruskan pekerja asing.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, KDN mengesan penyebaran perakuan palsu mengenai pelantikan syarikat pengurusan pekerja asing di seluruh Malaysia yang menggunakan nama Ketua Setiausaha KDN.

“Ingin ditegaskan bahawa maklumat itu adalah palsu.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang bentuk pembayaran kepada mana-mana pihak yang mendakwa menguruskan pendaftaran atau program membabitkan warga asing,” katanya.

Katanya, kementerian sudah membuat laporan polis agar individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu ini diambil tindakan sewajarnya.

Surat perakuan palsu yang tersebar itu turut memaparkan logo rasmi KDN beserta tajuk Perakuan Pendaftaran Syarikat Pengurusan Pekerja Asing.

Selain itu, ia turut menyatakan sebuah syarikat dikenali RNZ And Resources dilantik oleh KDN bagi menguruskan pekerja asing dengan sah laku kelulusan bermula 1 Oktober depan hingga 30 September 2021.

Ia turut memaparkan Kod QR dan nama Ketua Setiuasaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz di sebelah kod berkenaan. – K! ONLINE