fbpx
SUMAREH didakwa menamatkan kontraknya bersama Pahang secara berat sebelah dan bertentangan dengan perjanjian yang ditandatangani. – FB PAHANG FA

PBNP guna jalan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Bola Sepak Pahang (PBNP) mengesahkan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh selepas didapati melanggar terma dan syarat perjanjian kontraknya sebelum ini.

PBNP dalam satu kenyataan berkata, persatuan mempunyai alasan kukuh untuk mendakwa pemain kelahiran Gambia kerana didapati berada di pihak yang salah dan tindakan bersesuaian mengikut kontrak yang ditandatanganinya akan diambil.

“PBNP tidak pernah gagal dalam membuat pembayaran gaji kepada Sumareh mengikut perjanjian yang ditandatangani kerana ia dilakukan atas persetujuan dicapai antara kedua-dua belah pihak.

“Malah, perkara ini berada di dalam pengetahuan Sumareh sendiri.

“Justeru, Sumareh sebenarnya gagal mematuhi terma dan syarat perjanjian yang telah ditandatangani selepas tidak menghadiri sesi latihan sejak 3 Ogos lalu mengikut jadual yang telah ditetapkan PBNP selain beberapa aksi Liga Super yang sudah kembali sejak penghujung bulan lalu,” kata kenyataan itu semalam.

Mengulas lanjut, badan induk pasukan Pahang itu percaya penamatan kontrak yang dilakukan oleh Sumareh secara sebelah pihak adalah bertentangan de­ngan perjanjian.

“Secara jelas bahawa pemain tersebut telah gagal mematuhi tatacara yang ditetapkan dalam perjanjian termasuk peraturan semasa mengikut garis panduan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

Difahamkan, Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dilaporkan bersedia mengheret kes Sumareh ke Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) bagi mendapatkan keadilan buat skuad Tok Gajah.

Akhbar Kosmo! semalam telah melaporkan Sumareh rasmi menandatangani kontrak dengan kelab liga utama Thailand, Police Tero FC untuk mengharungi saingan yang akan memulakan tirai rasmi 12 September ini.

Penyerang skuad Harimau Malaya itu difahamkan telah menamatkan kontraknya bersama PBNP mengikut klausa 8.7 yang mendakwa mana-mana pemain yang tidak dibayar gaji selama sebulan atau lebih boleh menuntut supaya kontraknya dibatalkan.

POPULAR