SAINGAN Liga Perdana Inggeris musim ini akhirnya menutup tirai secara rasmi kelmarin dengan Arsenal berjaya menamatkan penantian 22 tahun untuk meraih gelaran berkenaan.
Ketika fokus keraian tertumpu buat skuad kendalian Mikel Arteta, mungkin ramai yang belum sedar bahawa musim ini juga menyaksikan berakhirnya legasi Pep Guardiola di England apabila beliau membuat keputusan meninggalkan Manchester City.
Guardiola mungkin ‘gagal’ menyaingi pencapaian pengurus legenda, Sir Alex Ferguson yang berjaya memenangi keseluruhan 28 trofi termasuk 13 gelaran EPL, namun beliau mungkin dianggap lebih baik oleh sesetengah peminat terutama dalam corak permainan bola sepak moden.
Ferguson memerlukan 26 tahun untuk meraih 28 trofi termasuk 13 gelaran EPL, tetapi Guardiola hanya memerlukan 10 tahun untuk membawa pulang 20 kejuaraan ke almari trofi City termasuk enam gelaran liga.
Mengimbas kembali kenangan Guardiola di England, beliau dianggap pengurus yang cukup teliti bukan sekadar melibatkan corak permainan pasukan, tetapi kemampuan mendapatkan dan membentuk pemain yang diinginkan.
Sebelum ini, ramai menganggap penjaga gol sekadar menjaga gawang daripada dibolosi, namun Guardiola mengubah falsafah tersebut dengan memperkenalkan istilah ‘ball playing keepers’ yang merujuk penjaga gol yang memiliki hantaran yang bagus.
Kejayaan Guardiola untuk menjadi ‘trendsetter’ bagi posisi penjaga gol cuba diikuti oleh kelab-kelab lain, namun ia tidak mudah apabila Manchester United gagal dengan Andre Onana, Arsenal kecewa dengan Aaron Ramsdale dan Chelsea hampa kemampuan Edouard Mendy.
Guardiola juga dikatakan pengurus pertama memperkenalkan posisi ‘inverted winger’ ketika pasukan di EPL biasanya menggunakan formasi tradisi menerusi empat pemain pertahanan termasuk bek kiri dan kanan.
Percubaan itu dilihat berhasil apabila pemain di posisi berkenaan mampu memberikan kekuatan bukan sahaja untuk benteng, tetapi membantu pemain di posisi tengah bertahan, malah sistem berkenaan memberi kesukaran kepada pasukan lawan membaca corak permainan.
Malah, dalam sesetengah situasi Guardiola mengarahkan salah seorang pemain pertahanan tengahnya untuk keluar dari posisi asal menjadi pemain tengah bertahan sekali gus berjaya mengekang asakan lawan sebelum bola tiba di kawasan kotak penalti mereka.
Beliau juga mengubah landskap bola sepak England yang terkenal dengan permainan pantas apabila menerapkan corak kawalan permainan, malah ia terbukti apabila pada musim 2017/18 ketika City memenangi gelaran EPL pertama dengan memecahkan rekod selepas meraih 100 mata.
Ketika beberapa nama dikaitkan bakal menggantikan Guardiola, namun calon yang paling kuat dikaitkan adalah bekas pengendali Chelsea, Enzo Maresca yang dianggap memiliki DNA ‘sistem
Guardiola’ yang cukup kuat apabila pernah menjadi pembantu pengurus di Etihad sebelum ini.
Memiliki reputasi membawa Chelsea muncul juara Piala Kelab Dunia, Maresca mungkin dianggap calon cukup sempurna, namun untuk mengambil tugas daripada seorang yang dianggap maestro, pengurus dari Itali itu perlu bekerja keras terutama untuk menepati apa yang dijangka oleh peminat.














