fbpx
Destiny Eagles FC yang bergelar juara dan bakal ke Gothia Cup di Sweden pada Julai ini.

Skuad muda Destiny Eagles FC wakili negara ke Sweden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sorakan penyokong bergema di tengah cuaca panas terik apabila pasukan bawah 16 tahun, Destiny Eagles FC baru-baru ini melakar kejayaan membanggakan apabila muncul juara Meet the World with SKF Malaysia Tournament 2026.

Meet the World with SKF ialah program sosial dan kejohanan bola sepak remaja anjuran SKF Group yang berfungsi sebagai platform kelayakan rasmi ke kejohanan dunia Piala Gothia (Gothia Cup) di beberapa negara termasuk Malaysia.

Program tersebut memberi peluang kepada pasukan bola sepak remaja, khususnya daripada komuniti dan akar umbi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Pasukan yang menjuarai kejohanan tempatan akan menerima tajaan untuk mewakili negara masing-masing ke Gothia Cup di Gothenburg, Sweden yang merupakan kejohanan bola sepak remaja terbesar di dunia.

Selain pertandingan, program berkenaan turut menekankan nilai pembangunan belia seperti kerja berpasukan, disiplin, kepimpinan dan pertukaran budaya antara pemain dari pelbagai negara

Kejohanan Gothia Cup yang bakal berlangsung Julai ini ialah sebuah kejohanan berprestij yang menghimpunkan lebih 40,000 pemain dari 80 negara.

Ia menjadi medan impian buat bakat muda bola sepak dunia, sekali gus membuktikan potensi besar yang dimiliki pemain remaja tempatan.

Berkongsi dengan K-Remaja, pemain Destiny Eagles FC, Muhammad Kamarulzaman, 16 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail berkata, sebaik sahaja pasukannya muncul juara dan akan mewakili Malaysia, mindanya terus membuat persiapan untuk ke Gothia Cup di Sweden.

“Saya perlu membuat persiapan untuk Gothia Cup kerana saya mahu bermain dengan lebih baik lagi di peringkat antarabangsa,” ungkapnya.
Muhammad berkata, apa yang membuatkan dia teruja untuk ke ke Gothia Cup adalah kerana kejohanan itu merupakan tradisi istimewa untuk pasukan bola sepak.

“Pemain legenda seperti Zlatan Ibrahimović, Xabi Alonso dan Andrea Pirlo juga pernah bermain di kejohanan itu sebelum menjadi bintang bola sepak dunia.

“Menjadi sebahagian daripada tradisi itu akan jadi satu momen penting dalam perjalanan bola sepak saya,” katanya.

Skuad Bawah 16 Tahun Destiny Eagles FC itu dipercayai dibentuk menerusi program pembangunan akar umbi di bawah Destiny Football Development Centre (DFDC) di Selangor.

KONGSI Muhammad, antara cabaran terbesar sebelum muncul johan adalah apabila terpaksa bermain di tengah panas, menyebabkan dia mengalami dehidrasi lebih cepat daripada biasa.

“Begitu pun, saya bersyukur kerana rakan-rakan sepasukan ada bersama-sama saya dan kami saling percaya antara satu sama lain.

“Dengan kerjasama semua, kami berjaya menyumbang gol untuk pasukan,” kata Muhammad yang mengimpikan untuk menjadi pemain bola sepak bertaraf dunia satu hari nanti.

Bagi Ryan Loh Jun Chuen, 16, pula dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (3), dia teruja kerana melihat peluang ke Gothia Cup akan memberikan dirinya dan pasukan pengalaman yang baharu serta melihat bagaimana pasukan-pasukan hebat dari seluruh dunia bermain di sebuah kejohanan remaja terbesar di dunia.

“Saya juga teruja untuk melawat Sweden kerana saya dengar ia sebuah negara yang sangat cantik.

“Ini juga bakal menjadi pengalaman pertama saya di Eropah,” katanya.

Kongsi Jun Chuen, ibu bapanya merupakan penyokong terbesar dalam hidupnya.

“Ibu bapa saya merupakan tulang belakang terbesar sepanjang perjalanan saya dalam dunia bola sepak.

Skuad bawah 16 tahun remaja Malaysia mempamerkan kemahiran dan semangat juang mereka ketika perlawanan berintensiti tinggi dalam Kejohanan Meet the World with SKF, Malaysia 2026.

“Dalam apa jua keadaan, mereka sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi serta sanggup menghantar saya ke latihan dan perlawanan tanpa mengira waktu.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih khas buat jurulatih-jurulatih saya yang penuh semangat dan dedikasi.

“Harapan saya supaya pengalaman ini nanti akan membantu menambah lagi minat saya terhadap bola sepak dan menjadikan saya lebih berdisiplin untuk bergelar pemain bola sepak yang lebih baik,” katanya.

Kejohanan di Malaysia itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Meet the World anjuran SKF Malaysia dengan kerjasama Destiny Football Development Centre sebagai rakan teknikal yang bertanggungjawab dalam aspek pembangunan bola sepak, tadbir urus teknikal serta penglibatan komuniti akar umbi.

Edisi Meet the World with SKF Kejohanan Malaysia 2026 menghimpunkan lima pasukan bawah 16 tahun berasaskan komuniti, sekali gus membuka peluang kepada pemain muda daripada pelbagai latar belakang untuk merasai pengalaman kejohanan yang dianjurkan secara profesional.

Bahkan, majlis penyampaian trofi dan pingat kepada pasukan juara disempurnakan oleh Duta Besar Sweden ke Malaysia, Niklas Wiberg.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2008, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan SKF dalam memperkasa pembangunan belia menerusi sukan dengan membuka peluang kepada pasukan muda tempatan untuk beraksi di pentas antarabangsa.

Menurut Pengarah Urusan SKF Malaysia, Vignesh Nathan, penglibatan syarikat itu sebagai penaja utama Piala Gothia selari dengan nilai yang dibawa kejohanan berkenaan seperti semangat berpasukan, tanggungjawab dan peluang yang saksama.

Katanya, platform itu bukan sahaja memberi ruang persaingan sihat kepada pemain muda, malah membantu mereka belajar, membina hubungan dan berkembang dalam suasana pelbagai budaya.

Turut berkongsi kegembiraan ialah Kapten Destiny Eagles FC, Gautham Raj.

“Saya benar-benar gembira kerana kami dapat membuktikan kehebatan kami dengan bermain di Sweden dan ini merupakan peluang besar untuk mewakili Malaysia,” katanya.

Ketua jurulatih, Walid Mohamed Saber Younis, 31, menambah bahawa kelayakan mereka untuk berada di Sweden adalah hasil konsistensi dan komitmen sepenuhnya daripada mereka selama setahun.

Meet the World with SKF terus memperkasa laluan untuk remaja Malaysia mencapai peluang dalam bidang sukan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan keyakinan bahawa bola sepak bukan sekadar pertandingan, bahkan turut menyaksikan perkembangan peribadi menjangkaui sesebuah kejohanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN