fbpx

Cake sedia wakili penduduk saman pemilik kilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) bersedia mewakili penduduk Lembah Klang untuk mengambil tindakan saman ke atas pemilik kilang yang mengakibatkan pencemaran sumber bekalan air di kawasan tersebut.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada orang ramai menerusi Facebook Cake dan panggilan telefon berhubung isu pencemaran air itu.

“Mereka tidak berpuas hati dengan pencemaran yang dilakukan oleh kilang tersebut sehingga menyebabkan pengguna terputus bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya kemudian menghubungi peguam untuk mendapatkan khidmat nasihat guaman dan bersetuju Cake mewakili pengguna di kawasan tersebut.

“Kita akan mewakili pengguna di Selangor untuk menyaman kilang yang mengakibatkan pencemaran air sehingga menjejaskan kualiti bekalan air di negeri itu.

“Tindakan ini demi memantapkan kuasa pengguna serta kesejahteraan masyarakat dalam negara,” ujarnya.

Menurut Mohamad Yusrizal,  walaupun Cake adalah pertubuhan di peringkat negeri Kedah tetapi persatuan itu juga berperanan untuk membela dan menjaga hak-hak pengguna dalam negara.

“Sebelum ini Cake pernah menyelesaikan banyak  kes di luar Kedah,” jelasnya.

Tambahnya, antara lapan hak pengguna termasuk hak untuk mendapatkan keperluan asas serta hak untuk mendapatkan persekitaran yang sihat dan selamat.

“Hak itu diperjuangkan oleh Cake dalam negara ini,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan gangguan bekalan air yang dihadapi kira-kira lima juta penduduk sekitar Lembah Klang melibatkan hampir 1.2 juta pemegang akaun sejak kelmarin dijangka berterusan sehingga empat hari lagi.

Sebelum ini, Cake memfailkan saman sivil ke atas pemilik Restoran Salleh di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut ganti rugi lebih RM1.5 juta susulan penularan Covid-19 bagi Kluster Sivagangga di negeri ini sejak 28 Julai lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI