ALOR SETAR – Ejen hartanah yang disyaki menikam kenalan wanitanya di dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas di sini malam tadi berjaya ditahan awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek berusia 32 tahun itu seterusnya akan dibawa ke mahkamah untuk proses reman.
“Suspek sudah berjaya ditangkap dan akan direman hari ini, ” katanya ringkas.
Terdahulu, suspek diburu polis kerana disyaki menikam leher mangsa wanita berusia 35 tahun di dalam kereta jenis Mazda kira-kira pukul 9.19 malam tadi.
Mangsa yang juga ejen hartanah ditikam ketika dia berada tempat duduk pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan.
Suspek terus melarikan diri selepas kejadian tersebut.
Kosmo! malam tadi melaporkan seorang wanita cedera parah di leher dipercayai akibat ditikam seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 35 tahun dikatakan ditikam di dalam sebuah kereta di kawasan letak kereta di situ.
Kejadian berlaku ketika orang ramai sedang menjamu selera di restoran tersebut. – KOSMO! ONLINE














