ALOR SETAR – Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditendang rakan sekolah selepas dituduh mengganggu teman wanitanya dalam kejadian dekat padang bola di Taman Uda, di sini pada 16 Jun lalu.
Video berdurasi dua minit 31 saat yang tular di media sosial menunjukkan tiga remaja duduk di bangku batu sebelum salah seorang daripada mereka bertindak menendang mangsa.
Mangsa yang dilihat menahan kesakitan kemudian rebah ke tanah sebelum suspek sama sekali lagi menendangnya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Hilmi Ahmad berkata, bapa mangsa berusia 53 tahun hanya mengetahui kejadian selepas dimaklumkan anak saudaranya mengenai video tular tersebut kira-kira empat hari selepas insiden berlaku.
Katanya, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa keluar bermain bola dengan rakan-rakanya dekat kawasan kejadian.
“Hasil siasatan mendapati salah seorang suspek bertindak menendang mangsa di bahagian perut sehingga mangsa rebah ke tanah sebelum sekali lagi menendangnya di bahagian sisi badan.
“Selepas mangsa rebah, seorang lagi suspek yang berada berhampiran didakwa telah menolak mangsa menggunakan kaki sehingga mangsa terjatuh lebih jauh. Mangsa menyatakan bahawa hanya suspek (pertama) yang menendangnya,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, menurut keterangan mangsa, suspek bertindak memukulnya setelah mendapat maklumat daripada rakan bahawa mangsa didakwa mengganggu teman wanita suspek tersebut.
“Walau bagaimanapun, mangsa menafikan dakwaan berkenaan,” ujarnya.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati mangsa dan kedua-dua suspek merupakan kenalan sejak darjah satu serta menetap di taman perumahan yang terletak bersebelahan.
“Berdasarkan keterangan pengadu, sebelum ini tidak pernah berlaku sebarang perselisihan atau masalah antara mangsa dengan kedua-dua suspek. Ketiga-tiga mereka merupakan rakan sebaya yang belajar di kelas dan sekolah yang sama,” katanya.
Menurutnya, mangsa tidak memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak sekolah mahupun ibu bapanya kerana tidak mahu membesarkan isu berkenaan.
“Pihak sekolah dan waris mangsa hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas rakaman video insiden ditularkan di media sosial oleh individu yang tidak dikenali,” ujarnya.
Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














