fbpx

Tangan budak disangka ranting pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharifah ANISAH (duduk, kanan) tidak dapat menahan sebak selepas mayat anaknya ditemui di Sungai Petani semalam.

Oleh NUR SYAZWANA MANSOR

SUNGAI PETANI – Keseronokan dua beradik lelaki bermain air longkang ketika hujan lebat bertukar tragedi apabila seorang daripadanya lemas selepas di­hanyutkan arus deras di Jalan Padang Temusu, Kampung Padang Temusu di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Uwais Al Hafiz Hamilzal, 5, dikatakan tergelincir ke dalam longkang tersebut sebelum abang­nya, Muhammad Hafiz Hazmi, 10, bertindak terjun untuk menyelamatkan adiknya.

Muhammad Hafiz Hazmi kemudiannya diselamatkan oleh seorang pekerja restoran, manakala mayat adiknya ditemui pada pukul 9.50 pagi semalam, kira-kira 16 jam selepas kejadian.

Mayat Muhammad Uwais ditemui tersangkut pada ranting pokok yang tumbang oleh bomba di hilir sungai berdekatan Kampung Pokok Asam kira-kira 1.4 kilometer dari lokasi dia terjatuh.

Pekerja restoran, Muhammad Fitri Kamal Abd. Rahman, 20, berkata, semasa kejadian, dia dan beberapa rakan yang sedang memasak berdekatan longkang tersebut ternampak seperti ta­ngan terkapai-kapai.

Cerita pemuda itu, pada mulanya, dia menyangka ranting pokok sebelum pergi ke longkang itu dan menggeletar apabila mendapati rupa-rupanya ta­ngan kanak-kanak.

“Saya terjun ke dalam longkang sedalam dua meter itu untuk menyelamatkan mangsa.

“Mangsa yang berusia 10 tahun berpaut pada kaki, manakala adiknya memeluk badan saya sementara tangan saya berpaut pada tebing longkang,” kata Muhammad Fitri.

Ujarnya, arus kuat menyebabkan dia tidak dapat naik ke darat dan mangsa yang berusia lima tahun terlepas.

“Apabila melihat adiknya dihanyutkan arus, abangnya melepaskan kaki saya untuk menyelamatkan adiknya,” katanya.

Ujarnya, dia sekali lagi menjejaki dua kanak-kanak itu sebelum menemui Muhammad Hafiz.

Ketika ditemui, Muhammad Hafiz sedang berpaut pada sebatang besi, manakala adiknya sudah tidak kelihatan.

“Saya hanya dapat selamatkan Hafiz dan saya masih trauma dengan kejadian itu.

“Ia berlaku dalam sekelip mata. Saya sedikit terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan seorang lagi mang­sa,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Syarifah Anisah Syed Ahmad, 42, berkata, sebelum kejadian, dua anaknya itu berada di kedai dobi miliknya, manakala suaminya berniaga kuih akok di sebuah gerai tidak jauh dari kedai dobinya itu.

“Suami saya minta dua anak kami menjaga gerainya sementara dia menunaikan solat.

“Tidak lama kemudian, saya dengar orang kecoh sebelum beberapa peniaga memaklumkan salah seorang anak saya telah diha­nyutkan arus deras,” kata­nya.

Ujarnya, sebelum kejadian, arwah Muhammad Uwais nampak begitu berselera menikmati bekal tengah hari yang dibawa, malah sempat mengulang makan nasi sebanyak dua kali. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI