PETALING JAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengarahkan pihak pengendali perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) mengemukakan laporan lengkap berhubung insiden tren tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, pagi semalam.
APAD dalam kenyataan hari ini memaklumkan, laporan berkenaan akan diteliti secara terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dilaksanakan bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kejadian tersebut.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat lesen pengendalian.
“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat lesen oleh pihak pengendali, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
“Selain itu, siasatan turut merangkumi aspek kecuaian di bawah Seksyen 202 dan Seksyen 128 Akta 715, termasuk terhadap mana-mana individu yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab atau cuai semasa menjalankan tugas sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel,” katanya.
Dalam kenyataan sama, APAD menegaskan pihaknya memandang serius berhubung insiden tersebut selain telah melaksanakan pemeriksaan tapak sebanyak dua kali di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan tapak pertama telah diketuai oleh Ketua Pengarah APAD bersama wakil Bahagian Penguatkuasaan Rel serta Bahagian Perancangan Rel.
“Sesi pemeriksaan tapak kedua pula telah diadakan pada pukul 3 petang melibatkan wakil Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi meneliti perkembangan awal siasatan, tahap keselamatan operasi serta langkah-langkah susulan yang perlu dilaksanakan oleh pihak pengendali,” jelasnya.
Tambah APAD, selaras arahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pihaknya turut membuka kertas siasatan serta-merta bagi menyiasat insiden itu secara menyeluruh.
Katanya, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard, penyelenggaraan aset, sistem keselamatan serta pengoperasian tren.
“Keselamatan pengguna, kebolehpercayaan sistem rel serta integriti perkhidmatan pengangkutan awam merupakan perkara yang tidak boleh dikompromikan dalam apa jua keadaan.
“APAD akan memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan menyeluruh serta segala tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya.
Terdahulu, Anthony dilaporkan berkata, kementeriannya menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat insiden tren LRT Laluan Ampang/Sri Petaling yang tergelincir pagi semalam.
Jelasnya, dapatan siasatan pasukan itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan dihebahkan secepat mungkin.
Beliau berkata, pada masa sama, APAD diarahkan untuk mengambil tindakan hukuman paling maksimum terhadap pengendali perkhidmatan, iaitu Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).
Rapid KL dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan insiden itu berpunca daripada kerosakan suis landasan yang menyebabkan tren tidak dapat bergerak.
Ketika kejadian, terdapat 25 penumpang dan mereka selamat dipindahkan dengan tiada kecederaan dilaporkan. – KOSMO! ONLINE














