fbpx

Presiden Mali letak jawatan selepas kena culik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAMAKO, Mali – Presiden Mali semalam mengumumkan peletakan jawatan untuk mengelakkan pertumpahan darah selepas beliau diculik dalam satu insiden rampasan kuasa ketenteraan dengan ketua pemberontak berjanji mengadakan pilihan raya baharu bagi menyelesaikan krisis politik di negara itu.

Kerajaan Ibrahim Boubacar Keita berdepan protes besarbesaran berhubung kemelesetan ekonomi, isu rasuah dan kebangkitan kumpulan militan yang meragut ribuan nyawa awam.

Tentera pemberontak menjadikan Keita dan Perdana Menteri Boubou Cisse sebagai tahanan pada tengah hari kelmarin, membawa mereka ke satu pangkalan tentera di luar Bamako. Kem tentera itu dirampas pada pagi hari kejadian.

Orang ramai yang berkumpul di ibu kota menuntut Keita meletak jawatan dan bersorak semasa tentera pemberontak menuju ke kediaman rasmi presiden.

Boubou Cisse (kiri) dan Ibrahim Boubacar Keita (kanan) – Ludovic MARIN dan Sia KAMBOU / AFP

 

Keita, 75, kelihatan tenang semasa mengumumkan keputusan meletak jawatan yang disiarkan menerusi televisyen selepas waktu tengah malam. Keita turut membubarkan kerajaan dan Parlimen Mali, menyatakan beliau tiada pilihan selain meletak jawatan serta-merta.

“(Saya perlu) akur kepada keputusan ini kerana saya tidak mahu apa-apa kejadian pertumpahan darah.”

Setakat ini, tiada kepastian sama ada Keita masih dalam tahanan di kem di bandar Kali.

Ketua pemimpin rampasan kuasa itu muncul di skrin televisyen beberapa jam kemudian dan berjanji satu peralihan kuasa politik serta pilihan raya baharu ‘pada waktu sesuai’.

Timbalan Ketua Turus Tentera Udara Mali, Ismael Wague berkata, beliau dan pegawai lain ‘memutuskan untuk memikul tanggungjawab bagi orang ramai’.

Negara-negara jiran Mali memberi amaran terhadap sebarang pemindahan kuasa tidak sah pada ketika rampasan kuasa berlaku pada Selasa lalu.

Komuniti Ekonomi NegaraNegara Afrika Barat (ECOWAS) mengutuk kudeta itu menerusi satu kenyatan dan mendesak agar sempadan darat dan udara Mali ditutup selain sekatan dikenakan ke atas ‘semua pihak terlibat’.

Blok 15 anggota itu termasuk Mali juga mahu menggantung negara itu daripada badan penggubal keputusan dalaman.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres mendesak agar Keita dan Cisse dibebaskan serta-merta. Kumpulan diplomat di New York berkata, Majlis Keselamatan PBB turut mengadakan perbincangan tergempar semalam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI