fbpx
Antara 11 lelaki ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh M.FIRDAUS M.JOHARI/KOSMO!

11 individu didakwa ahli kumpulan jenayah terancang Geng RT6

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 11 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 hingga April tahun ini.

Mereka ialah A.Raja Ratanam, K.Sunthreson, C.Vijaya Kumar, N.Nadarajah, T.Raman, R.Vijayan, M.Kumaaran, N.Harichandran, S.Maran, Suwaran Singh Minder Singh, dan Mohammad Atiff Khan Mohammad Ali Khan didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan atas tuduhan menjadi ahli kumpulan yang dikenali sebagai Geng RT6.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh berusia 22 hingga 48 tahun selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “GengRT6” dalam daerah Sentul antara 14 Januari 2020 hingga 27 April lalu (2026).

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1)Kanun Keseksaan [Akta 574] dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan pemenjaraan tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Mahkmah kemudian menetapkan 24 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim dan Yazid Mustaqim Roslan.

Tertuduh, Raja Ratanam, Kumaaran dan Harichandran diwakili peguam, Datuk Rajpal Singh, manakala Sunthreson, Suwaran Singh dan Mohammad Atif Khan diwakili peguam, Eu Kah Mun.

Peguam, M.Mathaven, Grace Francis dan
Muhammad Izzhar Idris mewakili tertuduh, Vijayan, serta peguam, S.Kirthen dan S.Premila mewakili tertuduh Maran.

Peguam, Kelvin Francis mewakili tertuduh Vijaya Kumar.

Nadarajah dan Raman pula tidak diwakili peguam.

Semalam media melaporkan polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai ‘Geng RT’ menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sekitar Lembah Klang, April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak tahun 2020 dan terlibat dalam aktiviti pemprosesan serta pengedaran pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, heroin, ganja dan ephedrine di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata, JSJN telah menjalankan tindakan agresif terhadap kumpulan jenayah terancang itu sejak Disember 2025.

Menurut Hussein, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, 12 suspek berkenaan direman selama 28 hari dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, JSJN kini masih giat mengesan saki-baki ahli sindiket yang dipercayai masih berada dalam negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN