fbpx
MOHAMMAD Muzzamman menghiasi pekarangan rumahnya dengan tin kosong yang diwarnakan dan disusun menjadi Jalur Gemilang di Felda Tun Ghafar, Machap.

[VIDEO] Habis RM12,000 hias rumah sempena Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

ALOR GAJAH – Usia setahun jagung bukanlah alasan bagi seorang pemuda untuk menghayati erti kemerdekaan dengan cara pengorbanannya yang tersendiri.

Buktinya, dia sanggup berbelanja lebih RM12,000 untuk membeli Jalur Gemilang dan pelbagai peralatan yang diperlukan untuk menghiasi rumah pusaka keluarganya di Felda Tun Ghafar, Machap di sini menjadi ‘Rumah Merdeka’.

Bagi Muhammad Muzzamman Othman, 31, setiap kali tibanya bulan Ogos, kesibukannya melakukan pelbagai persediaan menyambut hari kemerdekaan umpama mahu meraikan Hari Raya Aidilfitri.

“Sejak 10 tahun lalu, saya memperuntukkan RM100 sebulan daripada duit gaji untuk membeli bendera dan apa sahaja yang dirasakan sesuai untuk hiasan kemerdekaan.

“Saya akan cat semula botol dan tin terpakai pelbagai saiz yang dikutip untuk menjadi Jalur Gemilang.

“Semua itu dilakukan sendiri dengan bantuan ibu, Liza Mohd Yusop, 56, dan tiga adik demi semangat patriotik dan cintakan negara,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini baru-baru ini.

Dia yang bekerja sebagai pembantu pejabat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berkata, selepas enam tahun menghias rumah, dia cuba menyertai Pertandingan Bulan Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia pada 2016 dan 2019.

Seperti sudah rezeki buatnya, Muhammad Muzzamman dinobatkan menjadi johan pertandingan kebangsaan itu selama dua tahun berturut-turut pada 2016 dan 2019.

“Walaupun bukanlah hadiah yang diharapkan, namun kemenangan itu dapat membuktikan generasi muda juga ada cara yang tersendiri untuk menghidupkan semangat patriotik.

“Hanya melalui usaha ini kecil ini sahajalah saya dapat menunjukkan penghargaan tidak terhingga terhadap pejuang kemerdekaan negara,” katanya.

Menurut anak generasi ke tiga Felda ini, setiap kali menjelang 31 Ogos, jadual hariannya padat dengan aktiviti mengecat bahan terbuang seperti botol plastik dan tin untuk menceriakan halaman rumah.

Ini termasuklah membuat pintu gerbang menggunakan 499 botol plastik untuk menghasilkan bentuk bunga raya, memperkemaskan susunan kira-kira 1,000 botol plastik dan tin yang dicat dengan empat warna Jalur Gemilang di sekeliling kawasan rumah.

“Walaupun tidak menyertai sebarang pertandingan keceriaan merdeka tahun ini, ia bukanlah alasan untuk saya meluahkan semangat merdeka.

“Sekurang-kurangnya, saya gembira kerana sehingga kini, masih ramai pengunjung datang ke rumah saya semata-mata untuk bergambar dengan hiasan kemerdekaan,” ujarnya. – K! ONLINE