fbpx

Pengantin konvoi naik lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu lori, Mohamad Hanifa bersama isterinya, Nur Ain berkonvoi bersama 20 buah lori sempena majlis perkahwinan mereka di Kampung Lembaga, Gua Musang hari ini

GUA MUSANG – Seorang pemandu lori dan pasangannya membuat kelainan pada hari bahagia apabila mereka memilih untuk berkonvoi dengan memandu lori pada majlis perkahwinan mereka di Kampung Lembaga di sini hari ini.

Mohamad Hanifa Mohd. Zain, 28, bersama pasangannya, Nur Ain Mohd. Zuki, 23, berkonvoi bersama 20 buah lori lain sejauh enam kilometer ke Bukit Durian di Bandar Utama di sini.

Mohamad Hanifa yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia bersyukur kerana segala perancangan berjalan lancar walaupun dalam suasana penuh sederhana susulan pandemik Covid-19.

Katanya, mereka berasa dihargai apabila menerima kehadiran ahli keluarga dan sahabat dari Persatuan Lori Timur Barat Semenanjung Malaysia.

“Majlis sambut menantu di rumah keluarga saya mendapat reaksi positif daripada tetamu dan gambar perkahwinan kami lain daripada kebiasaan.

“Saya gembira apabila dapat membawa isteri menaiki lori yang menjadi sumber pendapatan saya sejak lima tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Nur Ain yang berasal dari Kampung Pasir Tumbuh di sini terharu dengan kesungguhan suaminya yang mahu menjadikan majlis perkahwinan mereka itu sebagai memori yang tidak dapat dilupakan.

Katanya, sebelum ini dia hanya mendengar cerita suaminya memandu lori untuk menghantar barang di dalam dan luar negeri ini.

“Saya rasa hari ini yang paling bahagia dan tidak dapat dilupakan hingga akhir hayat.

“Pengalaman itu akan menjadi kenangan kerana sebelum ini saya tidak pernah menaiki kenderaan berat,” katanya.

Majlis pasangan itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dan Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Sementara itu, penganjur konvoi itu, Mohd. Hisyamudin Muda, 32, berkata, sebagai tanda persahabatan, mereka yang bekerja sebagai pemandu lori di seluruh negeri sanggup mengambil cuti untuk berkonvoi.

Katanya, mereka sentiasa bersemangat dan akan memberi sokongan dengan berkonvoi secara beramai-ramai apabila ada rakan lain berkahwin. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI